Rabu, 25 Disember 2019

MAKHLUK GHAIB DAN KEPERCAYAAN ORANG BRUNAI KAMPUNG PIMPING

Kisah yang hendak saya utarakan di sini berkisar tentang makhluk-makhluk ghaib yang sering diceritakan oleh orang tua dulu-dulu kepada kami. Tujuan saya menceritakan kisah-kisah makhluk ghaib ini bukanlah untuk mengajak pembaca mempercayainya tetapi sekadar perkongsian dan dokumentasi budaya. Dari kecil lagi kami di kampung selalu ditakut-takutkan oleh orang tua-tua tentang wujudnya hantu atau jin yang selalu menggangu dan hadir dalam kehidupan manusia. Makhluk-makhluk halus ini biasanya mempunyai nama dan gelaran-gelarannya. Saya tidak pasti jika nama-nama mahluk yang saya tulis di dalam catatan ini ada wujud dalam budaya masyarakat Brunai daerah lain maupun kaum lain. Antaranya yang saya masih ingat ialah:

1. Orang babalang: 
2. Hantu tinggi
3. Kulindahau
4. Telinga Lebar
5. Galap
6. Mata hantu
7. Bauta
8. Tutut
9. Kuliraha
10. Panangalan
11. Balan-balan
12. Jin beragas

Saya akan menceritakan sedikit mengenai ciri-ciri dan bentuk penampilan makhluk ghaib ini mengikut apa yang pernah saya dengar melalui cerita-cerita orang tua-tua di kampung saya.

1. Orang Babalang: 

Ciri-ciri: Orang Babalang ini biasanya dikesan kehadirannya apabila kita tercium sejenis bau yang sangat kuat. Bau ini seakan akan bau darah dan nanah yang sangat kuat menusuk ke hidung.Sesuai dengan namanya Orang Babalang...babalang dalam bahasa Brunei Pimping ialah Berkudis, jadi nama makhluk ghaib ini ialah Orang Berkudis. Saya juga biasa terhidu bau-bau seperti bau orang babalang ini terutamanya selepas maghrib dan diwaktu malam. Jika hendak cuba mengetahui bagaimana bau orang babalang ini sebagaimana yang saya selalu tercium boleh cuba dengan cara menggosokkan dua keping syiling satu sen sehingga panas dan cium bau yang terhasil, inilah bau Orang Babalang, tetapi baunya lebih busuk dan kuat.

Kepercayaan: Orang Babalang dipercayai hanyalah sejenis makhluk ghaib dari kalangan Jin yang kadang-kadang datang melintas di kawasan rumah kita. Untuk menghalau makhluk ini, berdasarkan pengalaman saya semasa kecil, orang tua-tua dulu dulu biasanya akan meminta kita untuk menyebut nama sebenar orang Babalang ini dengan kuat, jelas dan berulang-ulang sehingga bau tersebut hilang. Nama sebenar orang Bebalang ini ialah 'Nantiyu Narukam'. Jadi apabila kita sebut namanya maka mahkluk ini akan merasa malu kerana diketahui namanya dan ia akan bergegas meninggalkan tempat tersebut.

Gambaran Fizikal: Orang tua-tua mengatakan, orang babalang mempunyai kudis yang amat banyak dibadannya. Tiada penjelasan sebenar bagaimana rupa dan fizikal badannya.

Penjelasan alternatif/saintifik: Mungkin saja bau yang sentiasa kami tercium waktu maghrib dan malam ini sebenarnya bukanlah bau jin atau hantu, tetapi bau sejenis haiwan nokturnal yang keluar pada waktu malam dan menghasilkan bau sebegitu, sebagai contohnya bau Kedurau yang selalu juga ada pada waktu malam. Hanya Allah yang mahu mengetahui.

2. Hantu Tinggi

Ciri-ciri: Hantu tinggi dikatakan satu jelmaan lembaga yang sangat tinggi. Orang yang terserempak dengan hantu tinggi ini tidak akan dapat melihat wajahnya kerana makhluk ini sangat tinggi, yang akan hanya kelihatan adalah kakinya dan ianya akan kelihatan hanya seperti bayang hitam yang sangat tinggi.

Kepercayaan: Tidak ada cara yang diajarkan untuk mengelak hantu tinggi. Apa yang perlu dibuat adalah jangan sekali-kali menegur apabila terlihat hantu tinggi. Ada juga yang percaya, kerana ketinggiannya hantu tinggi tidak dapat melihat kita yang kerdil pada mereka. Adalah ditegah sama sekali untuk lalu dibawah kangkang hantu tinggi kerana ini boleh menyebabkan 'keteguran' (demam) yang teruk.

Gambaran Fizikal: Sangat tinggi dan besar, sehingga setinggi pokok kelapa. Akan hanya kelihatan seperti bayang hitam dan biasanya muncul di waktu malam.

Penjelasan alternatif/saintifik: Mungkin sahaja bayangan hitam yang dilihat tinggi itu adalah biasan bayang-bayang daripada sorotan cahaya lampu dari bawah bukit di hadapan kita. Sorotan cahaya lampu ini akan menghasilkan bayangan apabila terkena objek seperti tiang dan menghasilkan bayangan yang panjang (tinggi) yang ternampak seolah-olah mahkluk ghaib. Keadaan seperti ini adalah sama seperti kita ternampak bayangan orang melintas jalan di jalanraya pada waktu malam, padahal bayang itu hanyalah bayang tiang lampu atau batang pokok yang terhasil daripada sorotan cahaya lampu kereta dari arah bertentangan yang sedang bergerak menghasilkan ilusi bayang. Hanya Allah yang maha mengetahui.

3. Kulindahau

Ciri-ciri: Kulindahau adalah makhluk ghaib yang sentiasa menyebabkan kehilangan seseorang. Dikatakan makhluk ini boleh berubah bentuk menyerupai seseorang yang kita kenal. Tetapi dalam bentuk asalnya kulindahau adalah mahkluk yang bersaiz kecil dan pendek, hanya mempunyai ketinggian sekitar paras pinggang hingga ke dada orang dewasa. Kulindahau mempunyai rambut yang panjang dan lurus sehingga ke pangkal betis.

Kepercayaan: Dipercayai kulindahau selalu berkumpulan dan suka menangkap ikan disungai beramai-ramai menggunakan alat seperti bubu. Menurut ayah saya yang menceritakan pengalamannya semasa dia bersama seorang rakannya yang terserempak dengan makhluk ini sewaktu mereka pergi ke sungai untuk memasang bubu di hutan pantai pimping di waktu hampir senja. Makhluk ini berkumpulan dalam kumpulan sekitar 6-7 orang, dan mereka sangat riuh bercakap bahasa yang tidak difahami, tetapi suara mereka agak nyaring dan kecil seperti suara bayi yang masih kecil. Ayah saya dan rakannya sempat menghendap aktiviti makhluk ini sehinggalah mereka hilang di sebalik selekoh sungai. Ayah saya menyatakan makhluk ini agak pendek dan mempunyai rambut yang panjang.

Antara sikap kulindahau ialah suka mempermain-mainkan orang sehingga orang sesat di dalam hutan. Selalunya kulindahau akan berubah bentuk menjadi sesorang yang kita kenali sehingga kita mengikut orang tersebut jauh ke dalam hutan sehingga tersesat. Dikatakan kulindahau hanya dapat menyerupai sebahagian sahaja daripada bentuk fizikal orang yang kita kenal, kita tidak akan nampak keseluruhan muka orang yang diserupainya itu. Kita hanya akan nampak samada dari bahagian belakang atau sisi. Orang tua-tua selalu mengingatkan untuk tidak mengikut sebarangan tanpa melihat muka orang yang kita ikut, jika orang yang kita ikut tidak menoleh walaupun dipanggil, kemungkinan itu adalah kulindahau yang sedang menyerupa untuk menyesatkan kita.

Dikatakan kulindahau bukan sahaja boleh berubah bentuk kepada fizikal manusia yang kita kenal, tetapi boleh berubah kepada sesiapa sahaja yang dia suka, seperti nenek tua atau kepada mahkluk lain seperti binatang yang boleh menyebabkan pemburu sesat kerana mengikut binatang yang sebenarnya adalah kulindahau yang menyerupa. Kulindahau sering dikaitkan dengan kehilangan-kehilangan misteri orang yang masuk ke dalam hutan. Kulindahau bukan sahaja mampu membuatkan orang hilang di dalam hutan, malah ia juga mampu menghilangkan orang terutamanya kanak-kanak di persiktaran rumah.

Pernah terjadi beberapa kejadian di kampung pimping, kanak-kanak hilang yang akhirnya ditemui di loteng rumah atau di kawasan-kawasan tersembunyi di sekeliling rumah. Kanak-kanak yang ditemui ini akan berperangai pelik seperti berbunyi 'hissing' seperti kucing yang sedang marah dan mempunyai mata hitam yang lebih besar dan badan yang licin seperti disaluti minyak. Adalah dipercayai jika tidak ditemui awal kanak-kanak ini akan diberi makan cacing oleh kulindahau dan lama kelamaan akan menjadi sebahagian daripada masyarakat kulindahau dan hilang selama-lamanya.

Penjelasan Alternatif/saintifik: Jika benar seperti apa yang pernah ayah saya ceritakan ketika beliau terlihat sekumpulan kulindahau, maka saya tidak menyangkal bahawa ianya merupakan mahkluk jin yang benar-benar wujud dan berfizikal seperti itu. Berkaitan dengan kanak-kanak yang hilang di mana mata hitamnya nampak lebih besar ketika dijumpai, ini adalah kerana biasanya kanak-kanak yang hilang ini dijumpai ditempat-tempat yang gelap, ini menyebabkan iris mata mereka akan lebih membesar. Badan yang licin dan berminyak mungkin disebabkan oleh peluh yang banyak merembes disebabkan tempat mereka bersembunyi atau disembunyikan selalunya adalah ruang tertutup dan panas. Hanya Allah yang maha mengetahui.

4. Hantu Telinga Lebar

Ciri-ciri: Hantu Telinga Lebar ini dikatakan suka tinggal di paya-paya dan lopak-lopak yang berair. Kawasan-kawasan lopak tempat kerbau bekubang juga merupakan kawasan yang ia suka tinggal. Secara fizikalnya penampakan hantu telinga lebar ini jarang dilihat secara keseluruhan badannya tetapi biasanya hanya kelihatan separuh badannya kerana ianya biasa berendam di lopak-lopak. Apa yang pernah diceritakan hantu telinga lebar ini mempunyai telinga yang lebar sahaja, tidak ada maklumat terperinci selain daripada itu. Tiada gangguan spesifik yang disebabkan oleh hantu telinga lebar ini.

Penjelasan Alternatif/saintifik: Kemungkina besar hantu telinga lebar hanyalah imiginasi orang dulu-dulu apabila mereka melihat kerbau berendam di dalam kubang pada waktu malam. Kerbau juga mempunyai telinga yang agak lebar.

5. Galap

Ciri-ciri: Galap merupakan sejenis hantu yang tidak pernah kelihatan secara fizikalnya keseluruhan tetapi ianya berbentuk seperti fenomena semulajadi atau objek-objek semulajadi. Fenomena semulajadi yang sering dikaitkan dengan kehadiran galap ialah sejenis pusaran air yang boleh menyebabkan orang lemas di air (sungai, tasik, laut dan seumpamanya), seseorang yang termasuk di pusaran air galap akan lemas walaupun mungkin kawasan yang ada pusaran air itu tidak dalam (mungkin hanya separas pinggang). Orang yang mahir berenang juga boleh lemas disebabkan galap ini. Galap juga boleh berada di daratan. Jika ia berada di daratan ianya akan menjadi bentuk seperti pusaran angin. Ianya boleh menjadi pusaran angin yg kecil sahaja yang wujud secara tiba-tiba, atau pusaran angin besar seolah-olah puting beliung yang boleh memusnahkan. Ciri-ciri 'Galap' ini jika dilihat hampir serupa dengan Hantu Air menurut kepercayaan masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia. Perkataan galap mungkin diambil daripada ciri fizikal kewujudan pusaran air dan pusaran angin yang biasanya akan hadir bersama sedikit gelap di kawasan putaran tersebut.

Kepercayaan: Terdapat juga kepercayaan yang galap di air juga boleh menyerupai seperti kayu balak yang sedang terapung atau hanyut disungai. Perbezaan antara kayu balak yang sebenar dengan jelmaan 'galap' kayu balak yang hanyut ini ialah, kayu balak sebenar mungkin akan kelihatan lebih nampak seperti balak baru tetapi balak hanyut jelmaan galap ini seperti sebatang kayu balak yang buruk, berlumut dan berlumpur. Terdapat juga kepercayaan yang mengaitkan galap juga boleh berubah bentuk menjadi sejenis makhluk di sungai yang agak besar dan mempunyai ciri-ciri seolah-olah ular yang besar tetapi hanya akan kelihatan sebahagian bonggol belakangnya dan kadang-kadang dikatakan dapat dilihat kesan-kesan fizikalnya apabila ia naik ke tebing sungai. Mahluk misteri di sungai ini juga biasanya berada di lubuk-lubuk dan dikenali dengan nama lain iaitu Tambuakar. Tidak ada cara patua orang tua-tua dahulu berkenaan cara mengelakkan kecelakaan apabila termasuk ke dalam putaran air atau angin ini.  Walaubagaimanapun ada juga orang tua-tua yang menasihatkan supaya azan jika kita termasuk dalam putaran seperti ini. Dikatakan kejadian putaran air atau angin ini (jika ianya adalah jelmaan mahkluk galap) akan berhenti jika dilaungkan azan.

Gambaran Fizikal: Berbentuk seperti pusaran air dan angin dan kadang-kadang menjelma seperti kayu balak buruk yang hanyut (terapung) atau makhluk berbentuk seperti ular besar yang dikenali juga sebagai Tambuakar.

Penjelasan Alternatif / Saintifik: Kemungkinan besar kejadian putaran air atau angin itu sebenarnya hanyalah fenomena semulajadi yang terjadi secara tiba-tiba akibat pergolakan pertembungan arus air atau pertembungan aliran udara panas dan sejuk. Adalah diakui pusaran air sebegini boleh menyebabkan kejadian lemas walaupun ditempat-tempat yang tidak dijangka merbahaya. Kejadian lemas di pusaran air di kawasan yang nampak kurang berbahaya ini pernah berlaku di Malaysia, yang mengakibatkan kematian seorang remaja dan 6 orang anggota Bomba. Ramai juga yang mengaitkan kes ini dengan Hantu Air pada masa itu. Di sini saya kongsikan artikel yang ditulis oleh  Wan Noor Hayati Wan Alias - Oktober 21, 2018 dalam Berita Harian Online berkenaan kronologi tersebut untuk anda membuat penilaian sendiri.
---------------------------------------------------- Mula Artikel-----------------------------------------------------
 Orang awam bantu tarik mayat 6 bomba lemas

PUCHONG: Apa yang berlaku di alur limpah berhampiran Taman Putra Perdana, dekat sini, tragedi yang mengorbankan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lemas pada 3 Oktober lalu.

Setakat ini ia masih dalam siasatan selepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan satu jawatankuasa untuk mencari punca dan memberi cadangan demi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, supaya tragedi seumpama itu tidak berulang.

Setakat ini butiran terperinci kejadian belum diumumkan oleh pihak berkuasa. Namun beberapa pihak, termasuk waris anggota bomba meminta KPKT menjalankan siasatan terperinci dan mengadakan inkuiri untuk mengenal pasti punca kejadian.

Anggota Majlis Keselamatan Aktiviti Air (WASC), Tan Sri Lee Lam Thye, mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan segera bagi menyiasat punca kejadian, sekali gus dapat menjawab spekulasi dan persoalan berikutan kejadian itu.

Berikutan itu BH membuat tinjauan dan menemui saksi dalam kalangan orang awam yang menyaksikan sendiri operasi menyelamat oleh enam anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada hari kejadian.

Wartawan menemui enam orang saksi, termasuk seorang kawan remaja yang lemas, Muhammad Ilham Fahmy, pengawal keselamatan kawasan perumahan berhampiran, pekerja syarikat kontrak di kawasan berkenaan, pemancing serta orang awam yang membantu pasukan penyelamat pada malam berkenaan.

Kecuali seorang yang sedia mendedahkan identiti, saksi lain enggan dikenali.

Maklumat yang diperoleh hasil temu bual mereka dirangkumkan dan dicantumkan bagi membentuk kronologi untuk mendapatkan gambaran kejadian pada hari berkenaan.

Berikut kronologi berkenaan:

Jam 4 petang:

Sekumpulan lima remaja memancing di alur limpah itu, kira-kira 100 meter ke hilir dari lokasi kejadian. Seorang daripadanya adalah Muhammad Ilham Fahmy atau dipanggil dengan nama Mat oleh rakan. Allahyarham lebih tinggi dalam kalangan mereka dianggap ketua kumpulan itu.Ajak pindah lokasi mancing Setelah agak lama di situ, mereka dapati tidak banyak ikan dan salah seorang mengajak berpindah ke lokasi berhampiran jambatan struktur empangan dikenali ‘Drop’, iaitu di tempat air jatuh kerana biasanya di situ lebih banyak ikan.
Ketika itu cuaca agak panas, walaupun sudah jam 4.30 petang bahangnya terasa seperti tengah hari. Mat merungut kerana kepanasan dan mahu mandi di kawasan ‘Drop’itu tetapi dilarang rakan lain. Namun, allahyarham memberitahu rakan: “Alaaa penakut, bukandalam pun...paras dada je”. Ketinggian Mat kira-kira 160 sentimeter, paling tinggi berbanding yang lain, menyebabkannya lebih berani untuk turun dalam air.
Jam 4.55 petang:
Mat turun ke dalam air di bawah ‘Drop’ itu. Mat bukan tergelincir dan jatuh seperti dilaporkan sebelum ini.
Ketika itu, paras air meningkat, menyebabkan air turun laju dan pergolakan serta pusaran mula terbentuk.
Tiba-tiba Mat disedut masuk ke dalam pusaran dan tenggelam. Rakan lain hendak membantu, tetapi mereka takut dan tidak tahu apa yang ada di dalam air atau di bawah pusaran itu. Ketika itu dia sudah lemas. (Mayatnya dijumpai keesokannya, hampir satu kilometer dari lokasi dia terjun mandi).

Jam 5.05 petang:
Semua rakan Mat berpakat memberitahu penduduk taman dan laporan kepada pihak bomba dibuat. Mereka kemudian menunggu di lokasi dan orang ramai mula datang ke lokasi.

Jam 5.30 petang:
Pasukan pertama (empat anggota) JBPM tiba.
Anggota penyelamat menemu bual rakan Mat dan membuat tinjauan berdasarkan apa yang mereka beritahu.Namun, mereka tidak memberitahu perkara sebenar kerana bimbang dipersalahkan.
Mereka berpakat mengatakan bahawa Mat jatuh tergelincir ke bawah Drop, bukannya turun sendiri untuk mandi. Ketua operasi mengarahkan anggota lain untuk meninjau kawasan Drop.

Jam 7.30 malam:
Suasana makin gelap dan pasukan kedua JBPM dengan kekuatan tujuh anggota tiba di lokasi, menjadikan semua 11 anggota. Seorang yang dilihat sebagai ketua dilihat mengarahkan tujuh anggota turun ke dalam air. Seorang daripada mereka turun dahulu ke dalam air jauh sedikit ke hilir dan berjalan hampir di tebing ke hulu menghala ke kawasan Drop. Air tidak dalam, sekadar paras pinggang sahaja. Mungkin tujuan anggota itu untuk meninjau keadaan atau kedalaman air.
 Anggota berkenaan turun tanpa menggunakan tali, tanpa pelampung atau jaket keselamatan, tanpa tangki oksigen, sebaliknya hanya memakai jaket. Kemudian ketua operasi mengarahkan dua anggota turun sebagai Team 1. Kedua-dua anggota diikat berangkai dengan hujung tali lagi dipegang oleh anggota di atas tebing. Kira-kira dua minit kemudian, Team 2 diarahkan turun untuk membantu Team 1. Mereka juga diikat berangkai dengan hujung tali dipegang oleh anggota di atas tebing.
Tali dililit pada badan
Tidak lama kemudian dua lagi anggota diarah turun sebagai Team 3 dengan kedua-duanya diikat pada tali ketiga yang hujungnya dipegang oleh anggota diatas tebing. Tali pada semua anggota diikat dengan cara dililit pada badan. Ketika itu suasana sudah gelap dan pencahayaan hanyalah berpandukan lampu suluh, termasuk daripada orang awam yang menyaksikan operasi itu. 
Anggota yang turun tidak membawa lampu suluh dan pergerakan mereka berpandukan cahaya lampu suluh dari atas tebing. Anggota di atas tebing juga tidak dapat melihat dengan jelas apa yang sedang berlaku di bawah. Ketika ketiga-tiga pasukan berada dalam air, tiba-tiba air deras turun, tetapi pertambahan paras air tidak dapat dipastikan kerana tidak cukup pencahayaan.
Tiba-tiba anggota pertama Team 1 tenggelam disedut dan tali berpintal dalam air. Kakinya betul betul mencecah pusaran yang menyedut Mat pada petang sebelum itu. Anggota di atas tebing mungkin menyangka lima anggota lagi mampu menarik satu yang sudah tenggelam, tetapi tiba-tiba semua lima anggota itu tenggelam.
Seorang anggota yang berjalan dalam air tadi bergegas menyelamatkan dirinya dengan naik ke atas tebing apabila mendengar suara kekecohan anggota lain dan menyedari sesuatu sedang berlaku.
Ketika itu, anggota di atas cuba menarik tali apabila melihat rakan tenggelam, namun gagal. Kira-kira 10 minit kemudian semua enam anggota sudah pun lemas.

Ketika itu orang ramai datang membantu menarik mereka ke atas. Mereka berjaya menarik semua mangsa ke atas dalam tempoh 15 minit. Bantuan pernafasan mulut ke mulut diberikan, tetapi gagal.
Tiada pasukan perubatan atau ambulans ketika operasi dijalankan.

Jam 8 malam:
Enam anggota disahkan mati lemas. Operasi ditamatkan dan pencarian mangsa lemas sebenar tidak dilakukan. Semua mayat kemudian dibawa ke hospital.
------------------------------------Tamat Artikel ----------------------------------------
6. Mata Hantu
 

Akan bersambung lagi..InsyaAllah..