Isnin, 28 Februari 2022

WAJAH SEBENAR RAJA MUDA HASHIM

 

WAJAH SEBENAR IKON SEJARAH BRUNEI - RAJA MUDA HASHIM

Oleh: Mohd Abdullah bin Abd Ghani

            Memang sudah lama saya berhasrat untuk melukis semula potrait-potrait lukisan ikon-ikon sejarah Brunei agar kita semua dapat melihat wajah sebenar mereka. Kali ini saya berkesempatan menghasilkan sebuah lukisan (digital rendering) Raja Muda Hashim. Minta maaf jika ada yang tidak bersetuju dengan hasil seni saya.








Khamis, 28 Januari 2021

https://anyflip.com/fkrye/mfyf/

PERANG PADAS DAMIT 1888 - KISAH PEJUANG HEBAT KITA MENENTANG BRITISH

Kalau ada yang berminat mahu membaca bacaan sejarah serius sedikit bolehlah cuba-cuba baca ni. Satu sejarah perjuangan bangsa kitani yang inda berapa diketahui.

https://anyflip.com/fkrye/mfyf/

Jumaat, 1 Januari 2021

SYAIR RAKUS - oleh akulahorangnya 2009

                                             Syair rakus: oleh akulahorangnya 2009


Lafaz Bismillah pemula pitara..
Mudik kehulu..behilir ke muara..
Banyak kebathilan…inda ketara..
Orang kitani…jua sengsara..

Karambunai berdaulat…tanah diraja..
Tampatnya ulun…menumpang keraja..
Mun ulun pun sudah…pandai bejaja..
Tanah diraja..inda tebaja..

Si Ulun sibuk…bekawan ambuk..
Anak tuannya..gugur malabuk...
Takadang ambuk pun pandai mauk..
Tataptah jua dibelai di ampuk..

Ambuk pun makan sama si anak...
Bininya ulun sudah baranak..
Dimasakkannya nasi betanak-tanak...
Dikamihi ambuk ditaburi onak..

Si anakpun basar..sudah belaki..
Sayang jodohnya inda hakiki..
Lakinya pergi bertemu Maliki...
Tinggallah sendiri meneruskan rizki..

Bila Izrail datang memanggil...
Tubuh si anak..menggigil-gigil..
Si ambuk macam..tepanggil-panggil..
Luati menongkol.. membuat bathil..

Mata terbuka menjadi buta..
Kerana harta nafsu berkota..
Tubuhpun kaku inda berkata..
Jari ditancap harta dipinta..

Suratpun turun inda betinta..
Inda besusah meminta-minta..
Untungtah ambuk, ulun dicinta..
Separuh harta sudah dibata..

Bebaju cikar ambuk serupa..
Pitara lama macam dilupa..
Kalautah inda musabab bapa..
Indakan ambuk demikian rupa..

Mendapattah bunga ambuk serupa..
Indatah tahu kan dibuatnya apa..
Kesian si ambuk mulai alpa..
Banyak binatang mahu bajumpa..

Mimangtah ambuk asalnya didamba..
Bagubang amas babalik ke rimba..
Tampat bapancak, bagayut..barumba..
Gubangpun karam inda tatimba..

Si Gagak bijak.. bajumpa ambuk..
Dimanisi..dibaiki..dipujuk-pujuk..
Mimangtah lalai..andangnya ambuk..
Bunga ditangan dipatuk-patuk..

Indatah cukup bunga dipatuk..
Kapala dijunyak dikatuk-katuk..
Paluitah ambuk makin mengantuk..
Binatang lain rancak mengutuk..

Arakiannya Gagak merampas bunga..
Tinggal siambuk tepingnga-pingnga..
Bunga dibawa kepada singa..
Untuk disamai ditaman syorga..

Bunga disamai sudah bebuah..
Ambukpun mula berasa gundah..
Aya siburung ia bepadah..
Bibirnya karing..inda beludah..

Aya si singa burung bercerita..
pasal si ambuk meminta-minta..
si singa marah membeliakkan mata..
ambuk ketakutan inda tekata..

Babalik ambuk bagubang bubus..
Hartanya dulu mau ditabus..
Diunjarnya jua tapi inda tambus..
Atutah balasan tamaha tabarus..

Separuh dulu sudah tesita..
Separuh lagi mau dibata..
Ambuk tamaha memandang harta..
Tuan empunya dipandang lata..

Tekabar sudah serata buana..
Taman yang elok syurga laksana..
Pacal yang asal menjadi hina..
Bangsa mulia tebiar merana..

Bemacam bangsa datang behasrat..
Tanah diraja dipermesyuarat..
Tarsilah dibawa besurat-surat..
Banyaktah jua melarat-larat..

Kuasa Allah empunya kudrat..
Lautan dalam menjadi darat..
Walaupun nyawa tinggal sekarat..
Bahu memikul sampai akhirat..

Nyawa sekarat atutah ibarat..
Menyusui kerabat ke timur ke barat..
Ilmu dan hayat sebagai isyarat..
Allah ya Rabbi Qudrat Iradat..

------Sekian------





Rabu, 25 Disember 2019

MAKHLUK GHAIB DAN KEPERCAYAAN ORANG BRUNAI KAMPUNG PIMPING

Kisah yang hendak saya utarakan di sini berkisar tentang makhluk-makhluk ghaib yang sering diceritakan oleh orang tua dulu-dulu kepada kami. Tujuan saya menceritakan kisah-kisah makhluk ghaib ini bukanlah untuk mengajak pembaca mempercayainya tetapi sekadar perkongsian dan dokumentasi budaya. Dari kecil lagi kami di kampung selalu ditakut-takutkan oleh orang tua-tua tentang wujudnya hantu atau jin yang selalu menggangu dan hadir dalam kehidupan manusia. Makhluk-makhluk halus ini biasanya mempunyai nama dan gelaran-gelarannya. Saya tidak pasti jika nama-nama mahluk yang saya tulis di dalam catatan ini ada wujud dalam budaya masyarakat Brunai daerah lain maupun kaum lain. Antaranya yang saya masih ingat ialah:

1. Orang babalang: 
2. Hantu tinggi
3. Kulindahau
4. Telinga Lebar
5. Galap
6. Mata hantu
7. Bauta
8. Tutut
9. Kuliraha
10. Panangalan
11. Balan-balan
12. Jin beragas

Saya akan menceritakan sedikit mengenai ciri-ciri dan bentuk penampilan makhluk ghaib ini mengikut apa yang pernah saya dengar melalui cerita-cerita orang tua-tua di kampung saya.

1. Orang Babalang: 

Ciri-ciri: Orang Babalang ini biasanya dikesan kehadirannya apabila kita tercium sejenis bau yang sangat kuat. Bau ini seakan akan bau darah dan nanah yang sangat kuat menusuk ke hidung.Sesuai dengan namanya Orang Babalang...babalang dalam bahasa Brunei Pimping ialah Berkudis, jadi nama makhluk ghaib ini ialah Orang Berkudis. Saya juga biasa terhidu bau-bau seperti bau orang babalang ini terutamanya selepas maghrib dan diwaktu malam. Jika hendak cuba mengetahui bagaimana bau orang babalang ini sebagaimana yang saya selalu tercium boleh cuba dengan cara menggosokkan dua keping syiling satu sen sehingga panas dan cium bau yang terhasil, inilah bau Orang Babalang, tetapi baunya lebih busuk dan kuat.

Kepercayaan: Orang Babalang dipercayai hanyalah sejenis makhluk ghaib dari kalangan Jin yang kadang-kadang datang melintas di kawasan rumah kita. Untuk menghalau makhluk ini, berdasarkan pengalaman saya semasa kecil, orang tua-tua dulu dulu biasanya akan meminta kita untuk menyebut nama sebenar orang Babalang ini dengan kuat, jelas dan berulang-ulang sehingga bau tersebut hilang. Nama sebenar orang Bebalang ini ialah 'Nantiyu Narukam'. Jadi apabila kita sebut namanya maka mahkluk ini akan merasa malu kerana diketahui namanya dan ia akan bergegas meninggalkan tempat tersebut.

Gambaran Fizikal: Orang tua-tua mengatakan, orang babalang mempunyai kudis yang amat banyak dibadannya. Tiada penjelasan sebenar bagaimana rupa dan fizikal badannya.

Penjelasan alternatif/saintifik: Mungkin saja bau yang sentiasa kami tercium waktu maghrib dan malam ini sebenarnya bukanlah bau jin atau hantu, tetapi bau sejenis haiwan nokturnal yang keluar pada waktu malam dan menghasilkan bau sebegitu, sebagai contohnya bau Kedurau yang selalu juga ada pada waktu malam. Hanya Allah yang mahu mengetahui.

2. Hantu Tinggi

Ciri-ciri: Hantu tinggi dikatakan satu jelmaan lembaga yang sangat tinggi. Orang yang terserempak dengan hantu tinggi ini tidak akan dapat melihat wajahnya kerana makhluk ini sangat tinggi, yang akan hanya kelihatan adalah kakinya dan ianya akan kelihatan hanya seperti bayang hitam yang sangat tinggi.

Kepercayaan: Tidak ada cara yang diajarkan untuk mengelak hantu tinggi. Apa yang perlu dibuat adalah jangan sekali-kali menegur apabila terlihat hantu tinggi. Ada juga yang percaya, kerana ketinggiannya hantu tinggi tidak dapat melihat kita yang kerdil pada mereka. Adalah ditegah sama sekali untuk lalu dibawah kangkang hantu tinggi kerana ini boleh menyebabkan 'keteguran' (demam) yang teruk.

Gambaran Fizikal: Sangat tinggi dan besar, sehingga setinggi pokok kelapa. Akan hanya kelihatan seperti bayang hitam dan biasanya muncul di waktu malam.

Penjelasan alternatif/saintifik: Mungkin sahaja bayangan hitam yang dilihat tinggi itu adalah biasan bayang-bayang daripada sorotan cahaya lampu dari bawah bukit di hadapan kita. Sorotan cahaya lampu ini akan menghasilkan bayangan apabila terkena objek seperti tiang dan menghasilkan bayangan yang panjang (tinggi) yang ternampak seolah-olah mahkluk ghaib. Keadaan seperti ini adalah sama seperti kita ternampak bayangan orang melintas jalan di jalanraya pada waktu malam, padahal bayang itu hanyalah bayang tiang lampu atau batang pokok yang terhasil daripada sorotan cahaya lampu kereta dari arah bertentangan yang sedang bergerak menghasilkan ilusi bayang. Hanya Allah yang maha mengetahui.

3. Kulindahau

Ciri-ciri: Kulindahau adalah makhluk ghaib yang sentiasa menyebabkan kehilangan seseorang. Dikatakan makhluk ini boleh berubah bentuk menyerupai seseorang yang kita kenal. Tetapi dalam bentuk asalnya kulindahau adalah mahkluk yang bersaiz kecil dan pendek, hanya mempunyai ketinggian sekitar paras pinggang hingga ke dada orang dewasa. Kulindahau mempunyai rambut yang panjang dan lurus sehingga ke pangkal betis.

Kepercayaan: Dipercayai kulindahau selalu berkumpulan dan suka menangkap ikan disungai beramai-ramai menggunakan alat seperti bubu. Menurut ayah saya yang menceritakan pengalamannya semasa dia bersama seorang rakannya yang terserempak dengan makhluk ini sewaktu mereka pergi ke sungai untuk memasang bubu di hutan pantai pimping di waktu hampir senja. Makhluk ini berkumpulan dalam kumpulan sekitar 6-7 orang, dan mereka sangat riuh bercakap bahasa yang tidak difahami, tetapi suara mereka agak nyaring dan kecil seperti suara bayi yang masih kecil. Ayah saya dan rakannya sempat menghendap aktiviti makhluk ini sehinggalah mereka hilang di sebalik selekoh sungai. Ayah saya menyatakan makhluk ini agak pendek dan mempunyai rambut yang panjang.

Antara sikap kulindahau ialah suka mempermain-mainkan orang sehingga orang sesat di dalam hutan. Selalunya kulindahau akan berubah bentuk menjadi sesorang yang kita kenali sehingga kita mengikut orang tersebut jauh ke dalam hutan sehingga tersesat. Dikatakan kulindahau hanya dapat menyerupai sebahagian sahaja daripada bentuk fizikal orang yang kita kenal, kita tidak akan nampak keseluruhan muka orang yang diserupainya itu. Kita hanya akan nampak samada dari bahagian belakang atau sisi. Orang tua-tua selalu mengingatkan untuk tidak mengikut sebarangan tanpa melihat muka orang yang kita ikut, jika orang yang kita ikut tidak menoleh walaupun dipanggil, kemungkinan itu adalah kulindahau yang sedang menyerupa untuk menyesatkan kita.

Dikatakan kulindahau bukan sahaja boleh berubah bentuk kepada fizikal manusia yang kita kenal, tetapi boleh berubah kepada sesiapa sahaja yang dia suka, seperti nenek tua atau kepada mahkluk lain seperti binatang yang boleh menyebabkan pemburu sesat kerana mengikut binatang yang sebenarnya adalah kulindahau yang menyerupa. Kulindahau sering dikaitkan dengan kehilangan-kehilangan misteri orang yang masuk ke dalam hutan. Kulindahau bukan sahaja mampu membuatkan orang hilang di dalam hutan, malah ia juga mampu menghilangkan orang terutamanya kanak-kanak di persiktaran rumah.

Pernah terjadi beberapa kejadian di kampung pimping, kanak-kanak hilang yang akhirnya ditemui di loteng rumah atau di kawasan-kawasan tersembunyi di sekeliling rumah. Kanak-kanak yang ditemui ini akan berperangai pelik seperti berbunyi 'hissing' seperti kucing yang sedang marah dan mempunyai mata hitam yang lebih besar dan badan yang licin seperti disaluti minyak. Adalah dipercayai jika tidak ditemui awal kanak-kanak ini akan diberi makan cacing oleh kulindahau dan lama kelamaan akan menjadi sebahagian daripada masyarakat kulindahau dan hilang selama-lamanya.

Penjelasan Alternatif/saintifik: Jika benar seperti apa yang pernah ayah saya ceritakan ketika beliau terlihat sekumpulan kulindahau, maka saya tidak menyangkal bahawa ianya merupakan mahkluk jin yang benar-benar wujud dan berfizikal seperti itu. Berkaitan dengan kanak-kanak yang hilang di mana mata hitamnya nampak lebih besar ketika dijumpai, ini adalah kerana biasanya kanak-kanak yang hilang ini dijumpai ditempat-tempat yang gelap, ini menyebabkan iris mata mereka akan lebih membesar. Badan yang licin dan berminyak mungkin disebabkan oleh peluh yang banyak merembes disebabkan tempat mereka bersembunyi atau disembunyikan selalunya adalah ruang tertutup dan panas. Hanya Allah yang maha mengetahui.

4. Hantu Telinga Lebar

Ciri-ciri: Hantu Telinga Lebar ini dikatakan suka tinggal di paya-paya dan lopak-lopak yang berair. Kawasan-kawasan lopak tempat kerbau bekubang juga merupakan kawasan yang ia suka tinggal. Secara fizikalnya penampakan hantu telinga lebar ini jarang dilihat secara keseluruhan badannya tetapi biasanya hanya kelihatan separuh badannya kerana ianya biasa berendam di lopak-lopak. Apa yang pernah diceritakan hantu telinga lebar ini mempunyai telinga yang lebar sahaja, tidak ada maklumat terperinci selain daripada itu. Tiada gangguan spesifik yang disebabkan oleh hantu telinga lebar ini.

Penjelasan Alternatif/saintifik: Kemungkina besar hantu telinga lebar hanyalah imiginasi orang dulu-dulu apabila mereka melihat kerbau berendam di dalam kubang pada waktu malam. Kerbau juga mempunyai telinga yang agak lebar.

5. Galap

Ciri-ciri: Galap merupakan sejenis hantu yang tidak pernah kelihatan secara fizikalnya keseluruhan tetapi ianya berbentuk seperti fenomena semulajadi atau objek-objek semulajadi. Fenomena semulajadi yang sering dikaitkan dengan kehadiran galap ialah sejenis pusaran air yang boleh menyebabkan orang lemas di air (sungai, tasik, laut dan seumpamanya), seseorang yang termasuk di pusaran air galap akan lemas walaupun mungkin kawasan yang ada pusaran air itu tidak dalam (mungkin hanya separas pinggang). Orang yang mahir berenang juga boleh lemas disebabkan galap ini. Galap juga boleh berada di daratan. Jika ia berada di daratan ianya akan menjadi bentuk seperti pusaran angin. Ianya boleh menjadi pusaran angin yg kecil sahaja yang wujud secara tiba-tiba, atau pusaran angin besar seolah-olah puting beliung yang boleh memusnahkan. Ciri-ciri 'Galap' ini jika dilihat hampir serupa dengan Hantu Air menurut kepercayaan masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia. Perkataan galap mungkin diambil daripada ciri fizikal kewujudan pusaran air dan pusaran angin yang biasanya akan hadir bersama sedikit gelap di kawasan putaran tersebut.

Kepercayaan: Terdapat juga kepercayaan yang galap di air juga boleh menyerupai seperti kayu balak yang sedang terapung atau hanyut disungai. Perbezaan antara kayu balak yang sebenar dengan jelmaan 'galap' kayu balak yang hanyut ini ialah, kayu balak sebenar mungkin akan kelihatan lebih nampak seperti balak baru tetapi balak hanyut jelmaan galap ini seperti sebatang kayu balak yang buruk, berlumut dan berlumpur. Terdapat juga kepercayaan yang mengaitkan galap juga boleh berubah bentuk menjadi sejenis makhluk di sungai yang agak besar dan mempunyai ciri-ciri seolah-olah ular yang besar tetapi hanya akan kelihatan sebahagian bonggol belakangnya dan kadang-kadang dikatakan dapat dilihat kesan-kesan fizikalnya apabila ia naik ke tebing sungai. Mahluk misteri di sungai ini juga biasanya berada di lubuk-lubuk dan dikenali dengan nama lain iaitu Tambuakar. Tidak ada cara patua orang tua-tua dahulu berkenaan cara mengelakkan kecelakaan apabila termasuk ke dalam putaran air atau angin ini.  Walaubagaimanapun ada juga orang tua-tua yang menasihatkan supaya azan jika kita termasuk dalam putaran seperti ini. Dikatakan kejadian putaran air atau angin ini (jika ianya adalah jelmaan mahkluk galap) akan berhenti jika dilaungkan azan.

Gambaran Fizikal: Berbentuk seperti pusaran air dan angin dan kadang-kadang menjelma seperti kayu balak buruk yang hanyut (terapung) atau makhluk berbentuk seperti ular besar yang dikenali juga sebagai Tambuakar.

Penjelasan Alternatif / Saintifik: Kemungkinan besar kejadian putaran air atau angin itu sebenarnya hanyalah fenomena semulajadi yang terjadi secara tiba-tiba akibat pergolakan pertembungan arus air atau pertembungan aliran udara panas dan sejuk. Adalah diakui pusaran air sebegini boleh menyebabkan kejadian lemas walaupun ditempat-tempat yang tidak dijangka merbahaya. Kejadian lemas di pusaran air di kawasan yang nampak kurang berbahaya ini pernah berlaku di Malaysia, yang mengakibatkan kematian seorang remaja dan 6 orang anggota Bomba. Ramai juga yang mengaitkan kes ini dengan Hantu Air pada masa itu. Di sini saya kongsikan artikel yang ditulis oleh  Wan Noor Hayati Wan Alias - Oktober 21, 2018 dalam Berita Harian Online berkenaan kronologi tersebut untuk anda membuat penilaian sendiri.
---------------------------------------------------- Mula Artikel-----------------------------------------------------
 Orang awam bantu tarik mayat 6 bomba lemas

PUCHONG: Apa yang berlaku di alur limpah berhampiran Taman Putra Perdana, dekat sini, tragedi yang mengorbankan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lemas pada 3 Oktober lalu.

Setakat ini ia masih dalam siasatan selepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan satu jawatankuasa untuk mencari punca dan memberi cadangan demi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, supaya tragedi seumpama itu tidak berulang.

Setakat ini butiran terperinci kejadian belum diumumkan oleh pihak berkuasa. Namun beberapa pihak, termasuk waris anggota bomba meminta KPKT menjalankan siasatan terperinci dan mengadakan inkuiri untuk mengenal pasti punca kejadian.

Anggota Majlis Keselamatan Aktiviti Air (WASC), Tan Sri Lee Lam Thye, mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan segera bagi menyiasat punca kejadian, sekali gus dapat menjawab spekulasi dan persoalan berikutan kejadian itu.

Berikutan itu BH membuat tinjauan dan menemui saksi dalam kalangan orang awam yang menyaksikan sendiri operasi menyelamat oleh enam anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada hari kejadian.

Wartawan menemui enam orang saksi, termasuk seorang kawan remaja yang lemas, Muhammad Ilham Fahmy, pengawal keselamatan kawasan perumahan berhampiran, pekerja syarikat kontrak di kawasan berkenaan, pemancing serta orang awam yang membantu pasukan penyelamat pada malam berkenaan.

Kecuali seorang yang sedia mendedahkan identiti, saksi lain enggan dikenali.

Maklumat yang diperoleh hasil temu bual mereka dirangkumkan dan dicantumkan bagi membentuk kronologi untuk mendapatkan gambaran kejadian pada hari berkenaan.

Berikut kronologi berkenaan:

Jam 4 petang:

Sekumpulan lima remaja memancing di alur limpah itu, kira-kira 100 meter ke hilir dari lokasi kejadian. Seorang daripadanya adalah Muhammad Ilham Fahmy atau dipanggil dengan nama Mat oleh rakan. Allahyarham lebih tinggi dalam kalangan mereka dianggap ketua kumpulan itu.Ajak pindah lokasi mancing Setelah agak lama di situ, mereka dapati tidak banyak ikan dan salah seorang mengajak berpindah ke lokasi berhampiran jambatan struktur empangan dikenali ‘Drop’, iaitu di tempat air jatuh kerana biasanya di situ lebih banyak ikan.
Ketika itu cuaca agak panas, walaupun sudah jam 4.30 petang bahangnya terasa seperti tengah hari. Mat merungut kerana kepanasan dan mahu mandi di kawasan ‘Drop’itu tetapi dilarang rakan lain. Namun, allahyarham memberitahu rakan: “Alaaa penakut, bukandalam pun...paras dada je”. Ketinggian Mat kira-kira 160 sentimeter, paling tinggi berbanding yang lain, menyebabkannya lebih berani untuk turun dalam air.
Jam 4.55 petang:
Mat turun ke dalam air di bawah ‘Drop’ itu. Mat bukan tergelincir dan jatuh seperti dilaporkan sebelum ini.
Ketika itu, paras air meningkat, menyebabkan air turun laju dan pergolakan serta pusaran mula terbentuk.
Tiba-tiba Mat disedut masuk ke dalam pusaran dan tenggelam. Rakan lain hendak membantu, tetapi mereka takut dan tidak tahu apa yang ada di dalam air atau di bawah pusaran itu. Ketika itu dia sudah lemas. (Mayatnya dijumpai keesokannya, hampir satu kilometer dari lokasi dia terjun mandi).

Jam 5.05 petang:
Semua rakan Mat berpakat memberitahu penduduk taman dan laporan kepada pihak bomba dibuat. Mereka kemudian menunggu di lokasi dan orang ramai mula datang ke lokasi.

Jam 5.30 petang:
Pasukan pertama (empat anggota) JBPM tiba.
Anggota penyelamat menemu bual rakan Mat dan membuat tinjauan berdasarkan apa yang mereka beritahu.Namun, mereka tidak memberitahu perkara sebenar kerana bimbang dipersalahkan.
Mereka berpakat mengatakan bahawa Mat jatuh tergelincir ke bawah Drop, bukannya turun sendiri untuk mandi. Ketua operasi mengarahkan anggota lain untuk meninjau kawasan Drop.

Jam 7.30 malam:
Suasana makin gelap dan pasukan kedua JBPM dengan kekuatan tujuh anggota tiba di lokasi, menjadikan semua 11 anggota. Seorang yang dilihat sebagai ketua dilihat mengarahkan tujuh anggota turun ke dalam air. Seorang daripada mereka turun dahulu ke dalam air jauh sedikit ke hilir dan berjalan hampir di tebing ke hulu menghala ke kawasan Drop. Air tidak dalam, sekadar paras pinggang sahaja. Mungkin tujuan anggota itu untuk meninjau keadaan atau kedalaman air.
 Anggota berkenaan turun tanpa menggunakan tali, tanpa pelampung atau jaket keselamatan, tanpa tangki oksigen, sebaliknya hanya memakai jaket. Kemudian ketua operasi mengarahkan dua anggota turun sebagai Team 1. Kedua-dua anggota diikat berangkai dengan hujung tali lagi dipegang oleh anggota di atas tebing. Kira-kira dua minit kemudian, Team 2 diarahkan turun untuk membantu Team 1. Mereka juga diikat berangkai dengan hujung tali dipegang oleh anggota di atas tebing.
Tali dililit pada badan
Tidak lama kemudian dua lagi anggota diarah turun sebagai Team 3 dengan kedua-duanya diikat pada tali ketiga yang hujungnya dipegang oleh anggota diatas tebing. Tali pada semua anggota diikat dengan cara dililit pada badan. Ketika itu suasana sudah gelap dan pencahayaan hanyalah berpandukan lampu suluh, termasuk daripada orang awam yang menyaksikan operasi itu. 
Anggota yang turun tidak membawa lampu suluh dan pergerakan mereka berpandukan cahaya lampu suluh dari atas tebing. Anggota di atas tebing juga tidak dapat melihat dengan jelas apa yang sedang berlaku di bawah. Ketika ketiga-tiga pasukan berada dalam air, tiba-tiba air deras turun, tetapi pertambahan paras air tidak dapat dipastikan kerana tidak cukup pencahayaan.
Tiba-tiba anggota pertama Team 1 tenggelam disedut dan tali berpintal dalam air. Kakinya betul betul mencecah pusaran yang menyedut Mat pada petang sebelum itu. Anggota di atas tebing mungkin menyangka lima anggota lagi mampu menarik satu yang sudah tenggelam, tetapi tiba-tiba semua lima anggota itu tenggelam.
Seorang anggota yang berjalan dalam air tadi bergegas menyelamatkan dirinya dengan naik ke atas tebing apabila mendengar suara kekecohan anggota lain dan menyedari sesuatu sedang berlaku.
Ketika itu, anggota di atas cuba menarik tali apabila melihat rakan tenggelam, namun gagal. Kira-kira 10 minit kemudian semua enam anggota sudah pun lemas.

Ketika itu orang ramai datang membantu menarik mereka ke atas. Mereka berjaya menarik semua mangsa ke atas dalam tempoh 15 minit. Bantuan pernafasan mulut ke mulut diberikan, tetapi gagal.
Tiada pasukan perubatan atau ambulans ketika operasi dijalankan.

Jam 8 malam:
Enam anggota disahkan mati lemas. Operasi ditamatkan dan pencarian mangsa lemas sebenar tidak dilakukan. Semua mayat kemudian dibawa ke hospital.
------------------------------------Tamat Artikel ----------------------------------------
6. Mata Hantu
 

Akan bersambung lagi..InsyaAllah..

Khamis, 29 Disember 2016

Perang Saudara Brunei dan Keturunan Kesultanan Brunei di Sabah

Oleh: Mohd Abdullah Abd Ghani

Permastautinan sebahagian penduduk berbangsa Brunei di beberapa tempat di Sabah berkait rapat dengan kisah-kisah perang saudara yang berlaku di Brunei. Banyak kisah-kisah yang diceritakan secara lisan secara turun-temurun bagaimana sesebuah keluarga melarikan diri dari Brunei akibat perang saudara dan ancaman nyawa yang mengakibatkan mereka bersembunyi di kawasan yang jauh dari tempat asal mereka dan menukar identiti mereka dan membuang segala gelaran yang ada pada keturunan mereka untuk mengelakkan daripada dijejaki oleh agen-agen musuh mereka.

Antara kawasan-kawasan yang menjadi tempat permastautinan mereka ini yang selalu disebut dalam kisah-kisah lisan maupun sejarah bertulis ialah Kg Kuala Lama, Kg Rumah Lama (kini Kg Pimping) di Membakut, Kimanis, Kinarut dan Kg Benoni di Papar, Meruntum, Inanam, Mengkabong dan Gentisan (kini Karambunai) di Kota Kinabalu.

Terdapat beberapa kisah perang saudara di Brunei antara kisah yang amat besar ialah perang saudara di zaman Sultan Abdul Hakkul Mubin dan perang saudara ketika kedatangan awal orang Inggeris (James Brooke di Sarawak) dan kedatangan syarikat British North Borneo Chartered Company (BNBCC) ke Sabah.

Sebelum kedatangan British, Sarawak dan sebahagian Sabah merupakan kawasan jajahan kesultanan Brunei dan pembesar-pembesarnya. Tanah-tanah yang ada di Sarawak dan Sabah samada tanah yang berstatus Tanah Krajaan, Tanah Kuripan dan Tanah Tulen. Sarawak mula terpisah dari kesultanan Brunei bermulanya apabila James Brooke dilantik menjadi Gabenor Kuching  pada 1841 dan beliau memperluaskan kuasanya sehinggalah dia menguasai keseluruhan Sarawak. Sabah pula mula terpisah dari Kesultanan Brunei pada 11 Ogos 1865 apabila konsul Amerika, Charles Lee Moses memajak tanah hampir keseluruhan Borneo Utara (Sabah) dari Sultan Abdul Momin dan Pengiran Anak Pengiran Temenggong Hashim dan menubuhkan ‘American Trading Company’ yang berpusat di kawasan yang beliau panggil Ellena (kini Kimanis).

Cerita lisan masyarakat Brunei Pimping

Penulis sendiri sejak kecil lagi sudah diceritakan oleh emak penulis (Dg Jaliha binti Ag Gamok) yang moyangnya, Dg Saleha binti Shahbandar Muhammad Salleh (yang mereka panggil si Datu) ada menceritakan kepadanya bahawa keturunan mereka bukanlah keturunan dari orang kebanyakan. Moyangnya memberitahu bahawa mereka melarikan diri dan bersembunyi di Kampung Pimping kerana pada masa tersebut berlaku perang. Oleh kerana kebimbangan akan keselamatan mereka, maka mereka telah bersembunyi dan tidak memakai gelaran mereka.

Pada ketika itu moyangnya (Si Datu) merahsiakan siapakah nama suaminya dan nama ayahnya, beliau hanya memberitahu kepada emak penulis yang suami dan ayahnya telah pergi berperang dan tidak pernah pulang sejak pemergian untuk berperang itu. Moyangnya juga berpesan, keluarga mereka yang lain ada juga tinggal ditempat-tempat lain, dan untuk mengenali keluarga yang lain cukuplah dengan mengenalkan diri mereka sebagai keturunan Maharajalela. Sehingga kini kami masih tertanya-tanya siapakah Maharajalela yang beliau maksudkan. Ada juga cerita-cerita dari orang tua-tua di kampung yang mengatakan beliau dipanggil 'Meraja-lela' yang bermaksud bertindak dengan mengikut kemahuan dan sesuka hatinya. Penulis juga pernah diceritakan oleh Hamidah binti Gersik (Mamidah) iaitu nenek saudara penulis sekitar tahun 2006 yang juga merupakan cucu Si Datu dari anaknya yang tua iaitu Ag Gersik bin Ag Sahak bahawa beliau pernah diceritakan oleh orang tua-tua dahulu bahawa keturunan kami adalah dari keturunan 'Maraja-lela'. Maraja-lela merupakan raja yang memerintah dengan kejam, hukumannya adalah amat keras sehingga menyebabkan pembesar-pembesar lain memberontak menggulingkannya sehinggalah keturunan anak cucunya terpaksa bersembunyi dan melarikan diri kerana khuatir akan dibunuh oleh pemberontak dan penentang 'Maraja-lela'. Kisah Maraja-lela yang kejam ini sehingga kini masih lagi menjadi cerita lisan masyarakat Brunei di kampung Pimping terutamanya golongan-golongan warga tua yang pernah diceritakan oleh nenek-moyang mereka tentang kisah Maraja-lela dan keturunannya. Tetapi DS Ranjit ada mengatakan di dalam penulisannya yang kawasan Membakut dan sekitarnya dikuasai oleh wakil Sultan Brunei yang dikenali sebagai Maharajalela. Adakah 'Maraja-lela' yang kejam dan menjadi cerita lisan masyarakat Brunei Pimping ini orang yang sama yang dirujuk oleh DS Ranjit sebagai wakil Sultan yang bernama/bergelar Mahararajalela yang menguasai Membakut. Persoalan ini akan dibincangkan lebih lanjut kemudian.

Selama berpuluh tahun semenjak si Datu (Dg Saleha binti Shahbandar Muhammad Salleh) hidup bersembunyi sekitar 1920an dan aktif menceritakan kisahnya ditahun 1950an sehingga kematian beliau di sekitar tahun 1956, keluarga kami tidak mengetahui dengan jelas siapakah ayah beliau dan suami beliau, dipercayai pada ketika itu beliau merahsiakannya sebab janji beliau terhadap suaminya dan ayahnya untuk merahsiakan keturunanan mereka demi menjaga keselamatan mereka yang diketahui masih dalam buruan dan boleh dibunuh oleh agen-agen musuh mereka.

         Gambar Si Datu

Selain daripada misteri siapa Maharajalela, terdapat satu lagi misteri yang sehingga kini sukar untuk dihuraikan yang telah diceritakan oleh si Datu kepada anak cucu keturunannya. Mengikut emak penulis si Datu sentiasa menceritakan yang keturunan mereka lari dari Brunei disebabkan perang saudara yang berlaku di Brunei, disebabkan perang tersebut suaminya (emak penulis merasakan yang cerita si Datu berkisar tentang kisahnya sendiri dan suaminya) yang merupakan pembesar Brunei pada ketika itu (tidak diketahui pangkat dan kedudukannya) telah mengarahkan beliau bersama dengan dua orang anaknya (seorang lelaki dan seorang perempuan) untuk lari bersembunyi dan menyelamatkan diri. Maka mereka telah lari dari Brunei menaiki tongkang bersama-sama dengan pengikut-pengikut suaminya yang setia.  Bersama-sama dengan itu juga, suaminya membekalkan beberapa alat kebesaran untuk dibawa lari bersama-sama. Si Datu juga ada menceritakan kepada emak penulis alat-alat kebesaran tersebut ialah Panji Kerajaan Brunei, Pedang Bengkok, Tombak, Keris dan Cop Mohor.

Walaubagaimanapun hanya pedang bengkok dan tombak sahaja yang pernah dilihat dan dipegang oleh emak penulis yang ditunjukkan oleh si Datu dan ianya masih wujud hingga kini. Pedang Bengkok ada pada Ag Salleh bin Ag Tamin (datuk saudara Penulis) yang tinggal di Kg Pimping, dan Tombak pula ada pada Ag Kassim bin Ag Gamok (pakcik penulis) yang tinggal di Taman Kingfisher Kota Kinabalu. 

Satu lagi alat kebesaran iaitu Keris telah muncul sekitar tahun 2005 apabila pakcik saudara penulis Ag Omar bin Agong yang tinggal di Kg Brunei Membakut mendedahkan kepada keluarga bahawa beliau ada menyimpan keris pusaka kepunyaan moyangnya iaitu Ag Katinau bin Pengiran Shahbandar Mohd Salleh yang juga merupakan saudara kandung seibu-sebapa Si Datu. 

Sayangnya Panji Kerajaan dan Cop Mohor telah lama hilang. Ada juga maklumat yang diperolehi oleh penulis dari makcik penulis iaitu Dg Jamilah binti Basir (isteri kepada Ag Kassim Ag Gamok) yang menyatakan bahawa beliau pernah melihat cop mohor tersebut semasa beliau masih kecil. Cop mohor tersebut dibaluti kain kuning dan disimpan didalam celapak tembaga (bekas tembaga). Walaubagaimanapun beliau tidak pasti siapakah yang menyimpannya, tetapi beliau hanya menyatakan bahawa seingatannya peristiwa beliau ditunjukkan cop mohor itu ialah disebuah rumah berhampiran dengan rumah ibunya di Kg Pimping yang beliau hanya merujuk sebagai "keluarga di kadai". Beliau tidak ingat siapakah yang menyimpan cop mohor tersebut. "Keluarga di Kadai" dalam konteks rujukan keluarga penulis merujuk kepada keluarga dari keturunan Ag Momin bin Ag Sahak, anak lelaki si Datu. 

Pada sekitar tahun 1988 sungai Pimping telah dikorek bagi projek tebatan banjir. Apa yang mengejutkan sebuah pulau kecil yang berada di tengah-tengah sungai Pimping berdekatan dengan rumah lama iaitu kampung asal orang-orang Pimping yang telah ditinggalkan akibat wabak penyakit lebih kurang 100 tahun dahulu adalah sebenarnya sebuah tongkang lama yang tersadai dan telah ditumbuhi kayu ara, tumbuhan lain serta mendapan tanah yang akhirnya dikenali sebagai Pulau Pimping. Orang kampung percaya bahawa tongkang ini merupakan tongkang orang-orang Brunei yang melarikan diri ke kawasan ini semasa pergolakan di Brunei.

Emak penulis masih kecil lagi ketika si Datu menceritakan kisah-kisah tersebut, mungkin berusia sekitar 10 tahun. Apa yang beliau ingat, pada ketika itu beliau merasakan yang kisah wanita yang melarikan diri menaiki tongkang bersama-sama dengan dua orang anaknya ketika perang saudara ialah kisah moyangnya sendiri yang membawa dua orang anak, yang pada ketika itu emak penulis hanya mengetahui yang si Datu ada hanya dua orang anak iaitu Ag Momin dan Dg Chuchu. Dg Chuchu ialah nenek kepada emak penulis. Persoalan siapa ayah si Datu hanya terjawab pada sekitar tahun 1988 apabila sekumpulan penyelidik tarsilah dari Pusat Sejarah Brunei datang ke Membakut dan mula menjejaki waris-waris kerabat di Raja Brunei di Sabah.

Penulis masih ingat pada sekitar tahun 1988 apabila penulis diberitahu emak penulis bahawa sekumpulan orang dari Brunei datang ke kedai makan beliau di Membakut (semasa kedatangan kumpulan ini penulis berada di Pekan Beaufort) pada masa tersebut bertanyakan tentang beberapa perkara yang mengejutkan beliau. Beliau pada masa tersebut merasa takut kerana apa yang dibawa oleh orang brunei tersebut ialah tarsilah yang ada menunjukkan nama nenek (Dg Chucu) dan moyang (Dg Saleha) beliau. Emak penulis tiba-tiba teringat akan pesan moyang beliau semasa kecil dahulu supaya tidak mendedahkan identiti mereka kerana dikhuatiri mereka dijejak dan dicari untuk dibunuh oleh musuh-musuh yang berperang dengan keluarga mereka. Kumpulan penyelidik Brunei tersebut, yang emak penulis percaya ketua kumpulan penyelidik Brunei pada tahun 1988 itu ialah Pehin Jamil Al-Sufri dari Pusat Sejarah Brunei apabila beliau melihat gambar Pehin Jamil yang ditunjukkan gambarnya oleh penulis sekitar tahun 2009. Kumpulan penyelidik Brunei tersebut bertanya soalan-soalan berkaitan dengan kesahihan tarsilah tersebut. Emak penulis menceritakan kepada mereka apa yang emak penulis tahu. Oleh kerana terlalu takut, emak penulis tidak sempat bertanya dari mana mereka memperolehi maklumat tersebut dan bagaimana mereka dapat menjejakinya sehingga kumpulan tersebut sampai ke kedai Membakut.

Bermula dari peristiwa pada tahun 1988 itulah penulis memulakan pencarian asal usul dan tarsilah penulis, kerana rupanya kisah yang diceritakan oleh emak penulis berdasarkan cerita-cerita moyang emak penulis bukanlah cerita dongeng tetapi cerita berasas dan ada kebenarannya. Maka bermulalah pencarian tarsilah keluarga yang panjang buat penulis yang sehingga kini masih meneruskan usaha-usaha tersebut. Antara penemuan-penemuan yang diperolehi oleh penulis berdasarkan tarsilah keluarga yang dikumpulkan dan dokumen tarsilah dari Pusat Sejarah Brunei ialah:

1. Ayah moyang penulis iaitu Dg Saleha@Si Datu ialah seorang pembesar Brunei yang bernama Pengiran Shahbandar Muhammad Salleh (sumber: Tarsilah di Pusat Sejarah Brunei).

2. Melalui dokumen geran tanah waris keluarga, suami si Datu hanya tertulis sebagai 'Sahak Brunei', dan melalui rujukan di dalam buku dari Pusat Sejarah Brunei yang bertajuk Dato Godam, beliau dirujuk sebagai Ag Sahak bin Pengiran Serudin Bungkol. Di dalam buku ini ada tertulis nama si Datu iaitu Dg Saleha dan moyang penulis iaitu Dg. Chucu.

3. Penulis juga merupakan keturunan langsung daripada Pengiran Shahbandar Muhammad Salleh bin Pengiran Syarmayuda Sharifuddin, wakil sultan/Gabenor Sarawak sebelum kedatangan James Brooke yang juga merupakan pengarang Syair Rakis. Keturunan langsung ini bolehlah ditulis seperti berikut Mohd. Abdullah bin Abd Ghani bin Muntaha bin Nasar bin Pg Abd Hamid bin Pg Basir bin Pengiran Shahbandar Muhammad Salleh (Syair Rakis). Pautan kepada tarsilah berkaitan ini adalah: https://www.geni.com/people/Pengiran-Shahbandar-Muhammad-Salleh/6000000003010634089

4. Emak penulis juga merupakan keturunan dari Pengiran Shahbandar Muhammad Salleh (Syair Rakis) melalui moyang beliau Pian Siti Lawiyah binti Shahbandar Muhammad Salleh yang juga merupakan saudara kandung seibu sebapa dengan Pengiran Basir. Pian Siti Lawiyah dikisahkan telah berkahwin dengan anak Raja Kayan bernama Tamamak Makang yang berkerajaan di Pusak, Ulu Membakut. Beliau memeluk Islam apabila berkahwin dengan pian Siti Lawiyah dan menukar namanya kepada Raja Abdul Salam bin Raja Makang dan mewarasi kerajaan Pusak dari ayahnya. Keturunan sebelah emak penulis ini boleh ditulis seperti berikut: Dg Jaliha (kahwin dengan Abd Ghani bin Muntaha) binti Dg Damit (kahwin dengan Ag. Gamok Ag Tahir) binti Dg Chucu (kahwin dengan Ag Tamin bin Pg Abd Hamid bin Pg Basir) binti Dg Saleha (kahwin dengan Ag Sahak Pg Serudin Bungkol) binti Pg Shahbandar Muhammad Salleh (kahwin dengan Siti Aisyah) bin Pian Siti Lawiyah (kahwin dengan Raja Abdul Salam@Raja Tamamak bin Raja Makang) binti Pg Shahbandar Muhammad Salleh (Syair Rakis). Datuk emak penulis iaitu Ag Tamin bin Pg Abd Hamid juga adalah saudara kandung kepada datuk ayah penulis iaitu Nasar bin Abd Hamid.

Kisah Si Datu: siapa wanita dan dua orang anaknya yang lari dari Brunei?

Apabila Si Datu menceritakan kepada emak penulis semasa beliau masih kecil tentang kisah keturunan mereka yang berkaitan dengan seorang wanita yang melarikan diri dari Brunei membawa dua orang anak dengan kapal tongkang berbekalan alat kebesaran diraja dan suaminya meninggalkan diri di Brunei berperang. Emak penulis pada masa tersebut berpendapat kisah itu adalah kisah Si Datu sendiri kerana setahu beliau Si Datu juga hanya mempunyai dua orang anak iaitu Ag Momin dan Dg Chucu, sepadan dengan cerita tersebut sepasang anak lelaki dan perempuan serta suaminya juga pergi berperang dan tidak diketahui nasibnya. Tetapi apa yang tidak diketahui oleh ibu penulis pada masa tersebut dan hanya beliau ketahui sekitar tahun 2008 ialah Dg Saleha (si Datu) bukan hanya mempunyai dua orang anak, malahan empat orang anak iaitu Ag Garsik (anak yang tua), Ag Amas (anak kedua, yang merupakan jurutera kapal laut yang berkahwin di Brunei dengan seorang wanita berbangsa cina tetapi tidak mempunyai anak), Ag Momin dan Dg.Chucu.

Apabila diketahui yang Si Datu mempunyai empat orang anak tetapi bukan dua orang anak maka cerita kisah perang saudara dan melarikan diri ke kampung Pimping itu sudah menjadi tidak selari. Walaubagaimanapun penulis mempunyai pendapat tersendiri iaitu, apa yang dikisahkan oleh Si Datu itu bukanlah kisahnya sendiri yang melarikan diri dari Brunei tetapi kisah moyangnya iaitu Dg Ajulaiha yang membawa sepasang anak lelaki dan perempuan iaitu Pengiran Basir dan Pengiran Lawiyah yang dimasa tersebut masih terlalu muda, belayar menaiki tongkang dari Brunei bersama-sama pengikut mereka menyelamatkan diri dan bersembunyi di Kampung Kuala Lama (kini Kg Binsuluk). Pada masa tersebut suami Dg Ajulaiha iaitu Pengiran Shahbandar Muhammad Salleh (Gabenor Sarawak) sedang berhadapan dengan konflik perang saudara antara beliau dengan Pengiran Raja Muda Hashim bin Sultan Kanzul Alam dan juga pihak British (James Brooke).

Apabila ditanyakan oleh penulis sekitar tahun 2000, adakah emak penulis pasti yang kisah tersebut adalah kisah Si Datu tetapi bukannya kisah moyang si Datu, maka emak penulis merasa sedikit terkeliru dan menyatakan beliau pada masa tersebut masih kecil, apa yang beliau faham adalah mengikut pendapatnya sendiri ketika itu malahan lagi moyangnya bercerita dengan cara kiasan kerana masih merahsiakan siapakah keturunan mereka. Anggapan beliau pada ketika itu si Datu menceritakan kisahnya sendiri, dan apabila ditanya lagi sekali oleh penulis dalam bulan Disember 2016, emaknya menyatakan yang ia pasti ayah dan suami Si Datu pergi berperang kerana Si Datu memang menyatakan dengan jelas tetapi perihal wanita yang melarikan diri menaiki tongkang dari Brunei bersama-sama dengan dua orang anaknya beliau tidak pasti samada cerita itu merujuk kepada Si Datu, atau moyang Si Datu iaitu Dg Ajulaiha.

Secara peribadinya penulis berpendapat cerita Si Datu berkaitan wanita dan dua orang anaknya itu adalah merujuk kepada moyang beliau Dg Ajulaiha. Ini kerana ketika Si Datu menceritakan kisah itu kepada emak penulis dengan membahasakan suami Dg Ajulaiha sebagai moyang kamu, sudah tentu perkara ini mengelirukan kepada seorang kanak-kanak untuk memahami dengan lebih tepat, kerana pada pendapat emak penulis moyang kamu itu adalah suami Dg Saleha. Maka timbulah pendapatnya sendiri yang mengaitkan cerita itu dengan cerita kisah hidup moyangnya Dg Saleha tanpa menyedari bahawa kisah yang diceritakan itu adalah kisah moyang kepada moyangnya.

Walaubagaimanapun kisah suami Si Datu iaitu Ag Sahak dan ayahnya Pengiran Shahbandar Muhammad Salleh pergi berperang mungkin ada kebenarannya kerana semenjak dari kedatangan James Brooke ke Sarawak pada tahun 1841 kisah perang antara pembesar Brunei sesama mereka dan antara Pihak British dengan pembesar Brunei (terutamanya pemilik tanah tulen) berterusan sehinggalah ke tahun-tahun 1920an.

Kisah Perang Saudara di Zaman James Brooke

Jika merujuk kepada sejarah-sejarah arus perdana yang ditulis bersandarkan kepada maklumat dari pihak Inggeris, campurtangan James Brooke di Sarawak bermula akibat campurtangannya untuk mengamankan Sarawak pada ketika itu yang menghadapi masalah ancaman pemberontak yang tidak berpuashati dengan cara pemerintahan Pengiran Shahbandar Muhammad Salleh yang dikatakan memerintah dengan cara kuku besi.

Sebelum tahun 1836 Sarawak merupakan kawasan jajahan Sultan Brunei yang diperintah oleh pemimpin-pemimpin tempatan yang menghantar cukai hasil jualan antimoni dan emas di Sarawak. Pemimpin-pemimpin tempatan ini adalah seperti Datuk Petinggi Ali, Shariff Mullah dan Shariff Jaafar. Kemudian pada tahun 1836 Sultan Brunei telah menghantar wakil beliau iaitu Pengiran Shahbandar Muhammad Salleh menjadi wakil pemerintah/gabenor di Sarawak.

Untuk memahami pergolakan yang berlaku di Sarawak, ada baiknya jika kita melihat terlebih dahulu bagaimanakah Sarawak menjadi sebahagian dari negeri di bawah jajahan kerajaan Kesultanan Brunei. Seorang ahli arkeologi bernama Jan Wisseman Christie  berpendapat bahawa penempatan dan perdagangan di kawasan Santubong muncul pada akhir abad ke-10 dan terus wujud hingga abad ke-14. Terdapat tinggalan sejarah yang membuktikan bahawa kawasan Santubong merupakan kawasan pelabuhan penting di zaman tersebut. Santubong pada masa tersebut mungkin dikenali dengan nama yang lain.

Asal usul kerajaan Sarawak dan jajahannya 

Di dalam bukunya “On Po-ni:  The Santubong Sites of Sarawak”, Jan Wisseman Christie menulis: “Santubong is a complex of port sites in the Sarawak river delta which rivals in site and richness found in the Muda and Merbok valleys of Kedah.  It is undoubtedly the remains of the port-capital of the state of Po-ni … The port was evidently founded in this region in the later tenth century, when it comprised only of one residential site, Sungei Jaong, and an associated burial ground nearby at Tanjong Kubor." Po-ni di dalam penulisan ini merujuk kepada Brunei.

Sehingga abad ke-14 belum wujud lagi nama Sarawak di dalam mana-mana catatan. Nama kawasan yang seakan-akan Sarawak adalah seperti yang tercatat dalam manuskrip Jawa lama hasil karya Prapanca yang ditulis diatas kertas lontar pada tahun 1365. Manuskrip ini dikenali sebagai Nagarakretagama, sebuah manuskrip Jawa lama yang meriwayatkan kisah Raja Jawa bernama Hayam Wuruk dan Empayar Kerajaan Majapahit. Dalam manuskrip ini tercatat "Sawaku" yang kemungkinan besarnya bermaksud Sarawak kerana tanah jajahan majapahit dan sekitarnya yang disebutkan dalam perenggan yang sama dalam manuskrip ini ialah kawasan-kawasan yang ada dalam Negeri Sarawak dan Kalimantan sekarang. Catatan Prapanca ini adalah seperti berikut: "Pupuh 14: Kandandangan, Landa, Samadong dan Tirem tak terlupakan Sedu, Barune (ng), Kalka, Saludong, Solot dan juga Pasir, Barito , Sawaku, Tabalung, ikut juga Tanjung Kutei Malano tetap yang terpenting di Pulau Tanjungpura”

Catatan Prapanca tentang negeri-negeri di bawah naungan empayar kerajaan Majapahit ini boleh ditafsirkan kepada kawasan-kawasan yang masih wujud pada zaman moden ini. Jika kita lihat catatan Prapanca di dalam Nagarakretagama di dalam bab 14, beliau memecahkan catatannya kepada tiga bahagian iaitu yang pertama; Kandandangan, Landa, Samadong, dan Tirem. Kandandangan, penulis tafsirkan sebagai Kandangan di Kalimantan. Landa, penulis tafsirkan sebagai Landak di Kalimantan. Samadong, tidak dapat ditafsirkan. Tiram, penulis tafsirkan sebagai Teluk Tiram di Kalimantan. Pecahan kedua: Sedu, Barune (ng), Kalka, Solot dan juga Pasir.Penulis mentafsirkan Sedu sebagai Sungai Sedu di Sarawak. Barune sebagai Brunei. Kalka sebagai Kalaka, Saludong sebagai Serudong di Sarawak. Solot tidak dapat ditafsirkan, Pasir yang terdiri dari dua kawasan berhampiran iaitu Pasir Pandak dan Pasir Panjang di Santubong, Sarawak. Pecahan ketiga penulis tafsirkan sebagai; Barito ditafsirkan kawasan muara Sungai Barito di Kalimantan Selatan. Sawaku ditafsirkan sebagai Sarawak. Tabalung ditafsirkan sebagai Daerah Tabalong di Kalimantan Selatan. Tanjung Kutei Malano pula dapat ditafsirkan sebagai tiga kemungkinan:

         i. Tanjung Kutei ditafsirkan sebagai Provinsi Kutai di Kalimantan, yang mana kawasan tersebut di bawah kerajaan Malano.

        ii. Kawasan kerajaan lama Malano di Sarawak, yang mana Tanjung Kutei itu adalah sebuah tempat yang kini tidak wujud lagi namanya yang terletak di dalam kawasan Malano. 

       iii. Tanjung Kutei dan Malano adalah dua kawasan yang berasingan yang telah dicatatkan oleh Prapanca. Iaitu Provensi Kutai Kalimantan dan Malano Sarawak.

Sememangnya kerajaan Malano adalah sebuah kerajaan yang sama pentingnya dengan kerajaan Brunei pada masa dahulu yang dicatatkan oleh Prapanca sebagai pembayar ufti seperti juga Brunei yang bernaung di bawah Empayar Kerajaan Majapahit. Jurnal pelayaran lama sekitar abad ke 14 dan 15 ada mencatatkan kewujudan kerajaan Malano. Sebuah peta lama yang diterbitkan pada tahun 1375 ada mencatatkan Kerajaan Malano di dalamnya. Sebuah peta lama tahun 1595 yang disimpan di Florence Italy menandakan sebuah kawasan yang dikenali sebagai Malano. Kawasan ini terletak di kawasan persisiran barat Sarawak yang kini dikenali sebagai Daerah Mukah, Balingian dan Oya. Bersandarkan kepada catatan dan peta-peta lama yang jelas menunjukkan kawasan yang dinamakan Malano yang berhampiran dengan River de Berulo (Bintulu) maka penulis berpendapat Prapanca sebenarnya merujuk kepada kerajaan Malano di Sarawak dan terdapat kawasan yang satu masa dahulu dikenali sebagai Tanjung Kutei di dalam kawasan Malano, Sarawak ini yang kini sudah bertukar nama ataupun lenyap dibawa arus peredaran masa, sebagaimana juga Kerajaan Malano yang kini lenyap. Pulau Tanjung Pura yang dimaksudkan oleh Prapanca di dalam manuskrip Nagarakretagama penulis tafsirkan merujuk kepada Pulau Borneo moden pada masa kini. Ini kerana terdapat sebuah pelabuhan kuno yang penting yang sentiasa ada tercatat dalam jurnal pengembaraan dan peta lama yang sememangnya dikenali sebagai Tanjung Pura di kalangan orang tempatan dan Taiao Puro didalam peta-peta orang Belanda. Sebelum pulau Borneo ini dikenali sebagai Pulau Borneo ianya dikenali sebagai Pulau Tanjung Pura sebagaimana yang tercatat di dalam banyak catatan-catatan kuno.Sekitar abad ke-15 , Tanjung Pura merupakan kawasan kerajaan bersultan yang agak terkenal setanding dengan kerajaan Brunei dan Karajaan Malano. Walaubagaimanapun seperti juga kerajaan Malano yang telah lenyap Kerajaan Tanjung Pura juga kini telah lenyap. Kisah Kerajaan Tanjung Pura yang lebih terperinci boleh dibaca pada pautan berikut ; https://m.facebook.com/notes/ariansyah-barbar/sejarah-tanjungpura-sukadana-biarlah-situsnye-hilang-tapi-jangan-sampai-kita-lup/306324482885547/

Catatan awal yang dapat kita kaitkan dengan nama Sarawak ialah catatan daripada De Barros 1530 yang mencatatkan perihal kepentingan kota-pelabuhan Sarawak:

“In Borneo, Lave, Tanjapura, Cerava, the principal ports of this island there are many wealthy merchants who trade to Malacca, Sumatra, Siam, China and other ports, to which they export diamonds, camphor, agala wood …. " Petikan daripada Catatan De' Barros ini jelas menunjukkan bahawa nama Santubong telah tidak digunakan lagi dan digantikan dengan Cerava atau Sarawak. Selain daripada catatan De Barros, peta-peta Eropah abad ke-16 dan 17 menamakan daerah-daerah yang ada pada Sarawak moden kini sebagai Cereua (1537) dan Cereuwa (1550) yang merujuk kepada kawasan Kuching kini, Belanos (Melano), Sedang (Sadong), Calca (Kalaka) dan River de Burulu (Bintulu).

Berdasarkan kepada catatan Prapanca di dalam manuskrip Nagarakretagama yang ditulis dalam tahun 1365 berserta bukti-bukti kewujudan beberapa kerajaan kuno yang di catatkan oleh pengembara-pengembara barat di dalam peta mereka, maka adalah diketahui bahawa kawasan Sarawak moden kini dahulunya adalah di bawah kekuasaan Majapahit. Jika dilihat kepada peta lama di bawah, beberapa kawasan di Pulau Borneo atau nama lamanya Pulau Tanjung Pura ada mencatatkan beberapa peradaban atau boleh diertikan sebagai kerajaan yang mempunyai kawasan jajahan dan pemerintahannya yang tersendiri. Peta ini merupakan peta pelayaran Olivier van Noort, pengembara Belanda pertama yang mengelilingi dunia. Peta ini dilukis pada tahun 1631 dan diterbitkan oleh Petits Voyages (sumber: https://www.oldworldauctions.com/archives/detail/138-792.htm). Peta ini berorentasikan arah Timur di bahagian atasnya. Catatan Van Noort's adalah antara catatan awal yang penting di era awal kegemilangan kesultanan Brunei. Beberapa kawasan peradaban ataupun negeri dalam konteks kerajaan lama ada dicatatkan di sepanjang pantainya.

Kawasan-kawasan ini pada zaman tersebut (pada zaman kesultanan Johor abad ke 14) dirujuk sebagai negeri-negeri. Negeri-negeri ini berada di bawah naungan kesultanan Johor apabila Empayar Majapahit merosot kekuasaannya. Kemudiannya negeri-negeri naungan Johor di Pulau Tanjung Pura ini kemudiannya diserahkan kepada Raja Brunei yang pertama iaitu Awang Alak Betatar yang berkahwin dengan kerabat di raja Johor dan memakai gelaran Seri Sultan Muhammad. Pusat pemerintahan baginda ialah negeri Barune (catatan Prapanca) yang juga dikenali sebagai Borneo dikalangan pengembara barat dan Brunei pada masa kini. Disebabkan penganugerahan kawasan inilah maka negeri Brunei menjadi begitu penting sebagai pusat kerajaan dan pulau yang dahulunya dikenali sebagai Tanjung Pura bertukar nama menjadi Borneo Island di kalangan pengembara barat dan dimelayukan oleh masyarakat tempatan sebagai Pulau Borneo.

Penguasaan Brunei ke atas Sarawak

Jika merujuk kepada fakta bahawa kerajaan Brunei mendapat kawasan beberapa bahagian Sarawak melalui pengenugerahan Sultan Johor selepas kawasan tersebut berada di bawah jajahan Johor apabila Empayar Majapahit merosot, maka dapatlah diandaikan bahawa kesultanan Brunei yang pertama hanya wujud selepas tahun 1365. Kisah penganugerahan negeri-negeri kawasan Sarawak ini ada dicatatkan dalam sebuah manuskrip Jawi Melayu Brunei bertajuk 'Alamat Zaman Ketakhtaan Nagari Baruni'. Catatan berkenaan peristiwa penganugerahan ini di dalam manuskrip tersebut adalah seperti berikut: "Maka Awang Alak Batatar dangan Patih Barbai asal raja datang ghaib...Penggawa jadi Pangiran ialah yang sangat gagah barani pada zamannya itu. Dan pada masa Ratu Malaka di atas karajaan Nagari Juhur, Awang Akak Batatar baristeri ka Juhur ialah digalarkan Awang Alak Batatar ada Seri Sultan Muhamad dan saudaranya Patih Barbai jadi Bendahara Seri Maharaja Permaisuara digalar dan pengiringnya yang lain itu digalar jadi Panggawa dan dianugerahi oleh Baginda di Juhur empat menteri yang basar2 dan babarapa pegawai dan ngaskar dangan babarapa dayang2nya dianugerahi nobat nagara ganta alamat sarta sakalian alat-alay karajaan yang berbagai-bagai. Dan dianugerahi nagari iaitu Kalaka dan Saribas dan Rajang dan Sabangan dan Samarahan dan Sarawak karana di pulau, Juhur pun mamarintah juga. Dianugerahkan sakali kapada anak baginda manjadi milik sepanjang-panjang rantau itu di bawah parintah Sultan Barunai damikianlah riwayatnya  pada zaman dahulukala".

Jika dilihat kepada petikan di atas, jelas menunjukkan sebanyak enam buah kawasan yang sebelum ini berada di bawah pemerintahan Empayar Johor telah diserahkan kepada Awang Alak Betatar pemerintah negeri Brunei. Keadaan ini menyebabkan enam negeri-negeri ini (Kalaka, Saribas, Rajang, Sabangan, Samarahan, dan Sarawak iaitu daerah Kuching kini) yang terletak dalam kawasan Sarawak moden sekarang berada di bawah takluk dan perintah Awang Alak Betatar yang bergelar Seri Sultan Muhammad. Bertitik-tolak daripada peristiwa inilah maka negeri Brunei yang pada asalnya negeri kecil dibawah jajahan Empayar Majapahit dan Empayar Johor akhirnya berkembang selama hampir 500 tahun menjadi Empayar Kesultanan Brunei yang menguasai hampir keseluruhan Pulau Borneo dan menyusut pada abad ke-19 sehingga kembali ke saiz asalnya seperti saiznya diawal penubuhan negeri Brunei oleh Awang Alak Betatar di abad ke 14 dulu dan hampir-hampir lenyap dimusnahkan British sebagaimana kerajaan-kerajaan dan kesultanan kuno kepulauan Borneo yang lain yang telah berkubur. 

Pentingnya Sarawak (Kuching kini) kepada kerajaan Brunei dapat dilihat apabila sultan Brunei, Sultan Saiful Rijal bercadang untuk pindah ke Sarawak setelah Sepanyol menduduki bandar Brunei pada tahun 1578 semasa perang Kastila. Kepentingan wilayah Sarawak juga banyak tercatat dalam Silsilah Raja-raja Brunei yang ditulis pada abad ke-17.

Berdasarkan dokumen-dokumen lama dapatlah disimpulkan bahawa Sarawak sebelum kedatangan James Brooke ialah sebuah kawasan yang terletak di Muara Sungai Kuching. Nama Sarawak muncul di sekitar abad ke 16 apabila pedagang dan pengembara dari barat terutamanya Portugis dan Belanda menamakan kawasan ini sebagai Cerava dan apabila disebut dalam bahasa melayu pada ketika itu dan masih wujud hingga kini terutamanya di kalangan penduduk Brunei Sabah dan orang Dayak Sarawak dan juga orang tempatan Sabah dan Sarawak yang berbahasa Melayu yang biasanya terdapat bunyi huruf tambahan 'k' yang jelas dihujungnya bagi mana-mana perkataan yang berakhir dengan huruf vokal seperti kita berbunyi 'kitak', kami berbunyi kamik', api berbunyi apik' dan seumpamanya. Jadi jika dilihat 'Cerava' yang sudah semestinya disebut oleh orang barat yang biasanya membunyikan 'v' sebagai 'w' dan huruf 'c' diawalan perkataan berbunyi seperti 's'. Maka orang tempatan di kepulauan Borneo akan menyebutnya sebagai Serawak' dan lama-kelamaan menjadi Sarawak. Adalah penting penulis rasakan untuk mengupas dari manakah asalnya perkataan Cerava atau Serawa' ini.

Asal perkataan Cerava 

Dalam peta-peta lama dan catatan orang barat,  daerah Kuching di sekitar abad ke 16 disebut sebagai Cerava, Cereua atau Cereuwa. Cerava adalah sejenis batuan yang terdapat di Kuching yang merupakan batu yang berwarna kekelabuan yang mengandungi sulfur dan antimoni. Orang-orang tempatan pada masa tersebut mengenali batuan ini sebagai 'Serewa'. Menurut kamus dewan edisi keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 'Serawak' bermaksud sejenis batu galian atau bijih yang mengandungi belereng dan antimoni. 

Adalah menjadi persoalan adakah orang Belanda menamakan batu galian yang ada di kawasan Kuching sebagai Cerava/Cereua/Cereuwa kerana mengikut bahasa tempatan yang merujuk batuan tersebut sebagai 'Serawak' atau sebaliknya. Penulis berpendapat bahawa batuan tersebut terlebih dahulu dikenali oleh orang Belanda sebagai batuan yang penting yang dikenali sebagai Cerava, nama Serewa hanya muncul terkemudian mengikut sebutan tempatan. Pendapat ini berdasarkan kepada dua teori:

i. Tiada pengkisahan mengenai 'Serawa' di dalam mana-mana cerita tempatan dan catatan sejarah sebelum abad ke 15 yang menyatakan perihal sejenis batuan yang dilombong untuk mendapatkan belerang dan antimoni di kawasan ini. Oleh itu adalah mustahil perkataan 'Serawak' ini berasal dari perkataan tempatan, tetapi ianya berasal dari perkataan penjelajah barat yang menyebut batuan tersebut sebagai Cerava yang akhirnya ditiru sebutannya oleh masyarakat tempatan menjadi 'Serawa'. Galian yang ada yang tercatat sebagai galian terpenting sebelum abad ke 15 ialah emas, sehinggakan kawasan Sarawak dikenali dengan nama Suvarnabhumi iaitu bumi emas. Tiada catatan sebelum abad ke 15 mengenai perlombongan atau perdagangan antimoni di kawasan ini.

ii. Antimoni hanya mulai terkenal di seluruh dunia pada abad ke 16 apabila buat pertama kalinya keadah pengasingannya telah diterbitkan di dalam sebuah buku bertajuk 'De la pirotechnia' oleh seorang 'metalurgist' Italy bernama Vannoccio Biringuccio pada tahun 1540. Tarikh penerbitan buku ini berpadanan dengan peta-peta lama terbitan sekitar 1537 hingga 1550 yang merujuk daerah Kuching sebagai Cerava. Jika dirujuk kepada batuan Serawa di kuching, ianya dicatatkan sebagai batuan yang mengandungi antimoni dan belerang yang berwarna kekelabuan. Jika merujuk kepada sifat batuan yang dicatatkan ini, batuan 'Serawak' ini ialah batuan yang dikenali dalam bahasa galiannya sebagai 'Lead Antimony Sulfide' yang ditulis sebagai sebatian kimia Pb13Sb7S23 yang atau lebih dirujuk sebagai Meneghinite. Terdapat banyak jenis Meneghinite ini berdasarkan lokalitinya, antaranya ialah Bottino Mine, Seravezza, Alpe Apuane, dan Toscana, di Italy termasuklah Chamonix Valley, di Perancis; Kalkar Quarry di Turki; Santa Cruz County, California, di USA dan Marble Lake, Frontenac County, Ontario, di Canada. 

Salah satu jenis Meneghinite ini yang menarik perhatian penulis ialah Seravezza. Seravezza adalah sebuah perkampungan di Itali yang merupakan kawasan perlombongan antimoni yang aktif di sekitar abad ke 16 iaitu di zaman Vannoccio Biringuccio dan masih aktif sehingga kini. Penulis mengutarakan teori yang tidak pernah ditulis oleh mana-mana penulis pun sebelum ini bahawa batuan yang terdapat di kuching yang dilombong dengan aktifnya bermula pada abad ke 16 ini dinamakan 'Cerava' yang mana perkataan asalnya ialah 'Serrava' iaitu singkatan kepada jenis batuan Meneghinite lokaliti Seravezza, Italy. Jika teori ini adalah benar maka asal usul nama Sarawak adalah daripada perkataan Italy iaitu Seravezza yang disingkatkan menjadi Serava dan akhirnya menjadi Serawak yang merujuk kepada batuan antimoni jenis Seravezza.


Gambar: Kawasan Seravezza, Italy berlatarbelakangkan kawasan perlombongan.

Seravezza  merupakan sebuah pekan kecil di kaki pergunungan Apuan yang merupakan salah satu daerah yang tertua di Versilia. Namanya selalu disalah maksudkan terhasil daripada dua batang sungai yang mengalir di kawasan tersebut: Serra dan Vezza tetapi sebenarnya kedua-dua sungai itulah yang mendapat nama daripada nama pekan ini. Asal nama Seravezza adalah dari sebuah kawasan di Lombard iaitu 'Sala Vetitia' yang bermaksud a 'center of trade' (http://www.clubipini.com/en/seravezza.asp).Penulis pula berpendapat kemungkinan perkataan Sera berasal dari perkataan Sepanyol iaitu 'Sierra' yang bermaksud 'rantaian bukit atau gunung terutamanya  yang puncaknya kelihatan bergerigi seperti mata gergaji. Perkataan 'Sierra' dalam bahasa Sepanyol ini pula berasal dari perkataan Latin iaitu 'Serra' yang bermaksud mata gergaji (http://www.dictionary.com/browse/sierra) dan perkataan Serra ini pula digunakan dalam bahasa Inggeris iaitu 'serrated' yang bermaksud bergerigi. Maksud perkataan ini bersesuaian dengan keadaan di daerah Seravezza yang terletak di kaki pergunungan Apuan yang sememangnya kemuncak-kemuncaknya tajam dan bergerigi seolah-olah mata gergaji sebagaimana seperti yang kelihatan  di dalam gambar di atas. Manakala 'vezza' pula penulis masih tercari-cari apakah maksud perkataan ini.

Kewujudan Cerava/Ceraua/Cerauwa/Sarawak (daerah Kuching moden) dan Pembesar-pembesarnya

Melalui fakta-fakta yang dibincangkan di atas dapatlah kita ketahui bahawa nama Sarawak hanya wujud sekitar abad ke 16 yang berasal dari perkataan 'Cerava/Cereua/Cereuwa'. Jika dilihat kepada peta lama abad ke-16, Kawasan Sarawak di sekitar abad ke-16 ini ini sebenarnya merujuk kepada kawasan Kuching moden kini. Jika merujuk kepada buku Legend and history of Sarawak hasil tulisan Pat Foo Chang, 1999, pusat pemerintahan kawasan Cerava (Sarawak) ini telah berpindah sebanyak tiga kali iaitu: yang pertama berpusat di Santubong yang dibuka oleh Sultan Tengah pada tahun 1599, kedua ialah Lidah Tanah yang dibuka oleh Datuk Petinggi Ali sekitar 1820an, dan yang terakhir ialah Kuching yang dibuka oleh Pengiran Indera Mahkota Shahbandar Muhammad Salleh pada tahun 1827.

Bagi meningkatkan lagi kefahaman mengenai Sarawak dan pembesar-pembesarnya sebelum James Brooke maka penulis akan cuba menyelusuri sejarah pembukaan Santubong, Lidah Tanah dan Kuching. Selain itu penulis juga akan cuba menyelusuri asal nama Santubong, Lidah Tanah dan Kuching ini serta pengasasnya. Penyelusuran pembesar-pembesar asal kawasan Sarawak ini dirasakan penting oleh penulis kerana dengan cara ini kita akan lebih memahami mengapa berlakunya konflik dan perperangan terutamanya antara pembesar tempatan Sarawak dan pembesar wakil Sultan dari Brunei. Konflik dan permusuhan antara pembesar-pembesar inilah yang digunakan oleh James Brooke sebagai alasan campurtangannya di daerah Sarawak ini, sehingga beliau menjadi Raja Sarawak dan meluaskan daerah jajahan Sarawak menjadi negeri Sarawak moden kini (James Brooke dan perluasan kuasanya boleh dibaca dari website berikut: http://www.britishempire.co.uk/maproom/sarawak.htm)

Santubong dan Pembesarnya

Muzium Sarawak di bawah seliaan Tom Harrison pada tahun 1949 telah melakukan kajian di Santubong dan telah berjaya mengumpulkan ribuan pecahan tembikar China serta artifak-artifak keagamaan Hindu. Hasil daripada penemuan ini mereka menyimpulkan bahawa Santubong wujud sebagai sebuah peradaban dan penempatan sejak abad ke 7 dan terus kekal hingga abad ke 14. Terdapat dua kisah lagenda tentang Santubong dan pengasasnya iaitu kisah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang serta Hikayat Datu Merpati. Selain dari dua kisah lagenda dan hikayat ini terdapat satu lagi kisah penubuhan kerajaan di Santubong yang merupakan kisah yang tercatat dalam lipatan sejarah Sarawak iaitu sejarah pembukaan Santubong oleh Sultan Tengah, yang merupakan sultan pertama dan terakhir Sarawak.

Kisah lagenda Puteri Sejinjang dan Puteri Santubong sehingga kini dianggap sebagai cerita dongeng rakyat kerana tiada bukti nyata mahupun keturunannya yang wujud sehingga kini. Berbeza dengan Hikayat Datu Merpati, hikayat ini dianggap kisah benar oleh orang-orang Sarawak sehinggakan terdapat kisah-kisah lisan tentang susur galur keturunannya yang diceritakan turun temurun kepada anak cucunya sehinggalah cerita-cerita lisan itu ditulis dan dicatatkan menjadi tarsilah keturunan Datuk Merpati di Sarawak sebagaimana tarsilah dibawah yang dicatatkan oleh Mohd Yusof Shibli di tahun 1950 yang ada termaktub didalam buku Wajah Melayu Sarawak terbitan Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak 2014: Editor Awang Azman Awang Pawi.

Kelemahan Hikayat Datuk Merpati jika disandarkan sebagai satu rujukan Sejarah ialah ianya tidak memberikan dengan tepat tahun peristiwa itu berlaku, tambahan lagi Hikayat Datuk Merpati bukanlah sebuah manuskrip lama. Manuskrip ini dikarang oleh Haji Mohammad Tahir bin Abdul Ghani pada tahun 1949 dan diterbitkan pada tahun 1989 oleh Jabatan Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Manuskrip ini dikarang berdasarkan cerita-cerita lisan rakyat Sarawak dan rekod-rekod tarsilah masyarakat Sarawak yang terkait dengan Datuk Merpati dari beberapa sumber pelbagai terkumpul yang berlandaskan cerita turun-temurun.

Jika merujuk kepada sejarah bertulis, dari sumber Pusat Sejarah Brunei, Santubong telah dibuka oleh Sultan Tengah pada hujung abad ke 16 iaitu setepatnya tahun 1599, walaubagaimanapun melalui pembacaan teks Hikayat Datuk Merpati yang bersandarkan kepada cerita rakyat Sarawak, Santubong sebenarnya telah dibuka lebih awal daripada itu dimana ianya dikatakan seiring dengan pembukaan Brunei oleh Awang Alak Betatar pada abad ke 14. 

Kisah lisan rakyat Sarawak ini mungkin ada kebenarannya kerana sebelum beberapa kawasan Sarawak diserahkan kepada Awang Alak Betatar seperti yang telah dibincangkan diatas, kawasan-kawasan Sarawak ini sama tarafnya dengan Brunei dimana kawasan-kawasan ini diperintah oleh pembesar-pembesarnya tersendiri yang berada di bawah Empayar Johor Lama yang membayar ufti kepada Sultan Johor sebagaimana juga Brunei yang membayar ufti di masa tersebut. Selepas Awang Alak Betatar berkahwin dengan Puteri Johor dan memeluk agama Islam dan memakai gelaran Sultan Muhammad Syah, beliau telah dianugerahkan oleh Sultan Johor enam buah negeri (kawasan) di Pulau Tanjung Pura (Borneo) yang selama ini dibawah jajahan dan naungan Empayar Johor untuk diperintah. Walaubagaimanapun Santubong tidak tersenarai sebagai negeri yang diserahkan, yang tersenarai hanyalah Kalaka, Saribas, Rajang, Sabangan, Samarahan dan Sarawak. Jika Sarawak yang dimaksudkan dalam manuskrip jawi kuno Brunei ini ialah kawasan Cerava atau kawasan Kuching moden kini, maka Santubong adalah salah satu jajahan yang termasuk dalam negeri (kawasan) Sarawak.

Sesuatu yang menarik perhatian penulis ialah satu fakta yang diketengahkan oleh pakar-pakar Sejarah dan ahli arkeologi bahawa sememangnya Santubong merupakan sebuah politi yang wujud seawal abad ke 7, berdasarkan kepada penemuan-penemuan ribuan pecahan tembikar dari zaman dinasti Tang dan Song. Dinasti Tang wujud pada tahun 618 hingga 907 Masehi, manakala Dinasti Song wujud pada tahun 960 hingga 1279. Bersandarkan kepada penemuan artifak dari Dinasti Tang dan Song ini, maka hampir kesemua ahli Sejarah bersetuju bahawa Santubong semestinya wujud sekitar abad ke 7 hingga ke 13. Kajian arkeologi walaibagaimanapun tidak menemui sebarang pecahan tembikar dari Dinasti Ming. Dinasti Ming wujud pada tahun 1368 hingga 1644. Ketidakwujudan artifak dari dinasti Ming ini telah menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli sejarah yang akhirnya membawa kepada kesimpulan bahawa Santubong telah terhenti kemajuannya dan ditinggalkan pada abad ke 14. Mengapa Santubong ditinggalkan pada abad ke-14 telah menjadi satu tanda tanya kepada ahli sejarah. Beberapa teori berkaitan telah dikemukakan untuk menjawab persoalan ini. 


uching dan Pembesarnya

Lidah Tanah dan Pe

 i. Pembukaan Lidah Tanah

ii. Asal nama Lidah Tanah

Aspek Legal Properti - Teori, Contoh, dan Aplikasi

By Richard Eddy


RUJUKAN

Awang Azman Awang Pawi (2014). Wajah Melayu Sarawak terbitan Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak.

Pat Foh Chang (1999). Legends and History ofSarawakISBN 978-983-9475-06-7

Jan Wisseman Christie (1985). “On Po-ni:  The Santubong Sites of Sarawak”, SMJ,XXXIV, hal. 82.

Slamet Muljana (2006). Tafsir Sejarah:  Nagarakertagama, LKIS, Jakarta, Indonesia, hal. 346.






Ahad, 25 Disember 2016

Pahlawan Mat Salleh berdarah Brunei

Oleh: Mohd Abdullah Abd Ghani

Datu Paduka Mat Salleh amat terkenal sebagai seorang pejuang yang memberontak menentang pihak British. Kisah penentangan beliau diselubungi misteri dan penuh lagenda. Penulisan-penulisan arus perdana dan kisah-kisah sebelum ini banyak menceritakan yang beliau merupakan anak seorang ketua tempatan dan berbangsa bajau suluk. Namun tidak ramai yang mengetahui yang sebenarnya beliau juga berdarah brunei. Memang benar beliau berbangsa suluk melalui ayahnya yang bernama Datu Shariff Muhammad Salleh ibni Sultan Iskandar Qudratullah Muhammad Jamallul Azam (Sultan Untong). Datuk beliau merupakan sultan ke-18 yang memerintah Magindanao dari tahun 1837 hingga 1854.Dokumen dari pihak Sepanyol juga merujuk Sultan Untong sebagai Iskandar Qudarat Paharud-Din. Dalam tahun 1837 hingga1845 , beliau menandatangi perjanjian damai dengan sepanyol. Sultan Untong mangkat sekitar tahun 1853 dan 1854. Beliau juga dikenali Datu Untong dan menaiki tahkta Sultan Magindanao melalui penurunan kuasa kepada beliau oleh ayahnya yang dikenali sebagai Rajah Tua.

Nama sebenar Datu Paduka Mat Salleh ialah Datu Shariff Abdul Rashid , walaubagaimanapun beliau lebih dikenali sebagai Mat Salleh kerana lazimnya orang British dan orang barat akan merujuk nama seseorang berdasarkan 'sir name' atau nama ayah. Maka Mat Salleh adalah singkatan dari nama ayah beliau iaitu Muhammad Salleh. Beliau pula berketurunan brunei melalui ibunya iaitu Siti Aisyah binti Pengiran Abd Rauf. Ibu beliau Siti Aisyah adalah anak Pengiran Abd Rauf bin Pengiran Abd Rajit dengan Pengiran Jamaliah yang bersaudara dengan Pengiran Shahbandar Muhammad Salleh (pengarang syair rakis) yang menjadi pemerintah/wakil raja/gabenor Sarawak pada tahun 1824 hingga 1840. yang mempunyai konflik dengan Pengiran Muda Hashim yang akhirnya membawa kepada campurtangan James Brooke yang mengambil alih tampuk pemerintahan di Sarawak bergelar Rajah Brooke dan memulakan dinasti Brooke yang memerintah Sarawak tahun 1841 hingga 1946.

Terdapat juga cerita-cerita dan penulisan yang mengatakan Datu Paduka Mat Salleh tidak mati semasa pertempuran dengan British di Tambunan, sebaliknya beliau menghilangkan diri dan menyamar sebagai orang lain. Beliau berpesan kepada anak cucunya supaya tidak mendedahkan identiti mereka. Antara nama samaran beliau yang menjadi bualan ialah Haji Abdul Salam.

Sabtu, 24 Disember 2016

Karambunai dan Pembesarnya

Oleh: Mohd Abdullah bin Abd Ghani

Karambunai merupakan kawasan Tanah Tulen karabat diraja Brunei pada satu masa dahulu. Pada masa kini Karambunai merupakan kawasan yang terkenal di Sabah dengan wujudnya sebuah Resort bertaraf 5 bintang iaitu Nexus Karambunai di samping wujudnya juga Pangkalan Tentera di sini. Sejarah Karambunai yang bertulis boleh dirujuk seawal zaman pemerintahan kesultanan Brunei sekitar tahun 18an.

Siapa empunya tanah Karambunai Asal

Tanah Karambunai asalnya adalah milik Sultan Omar Ali Saiffudin I ibni Sultan Muhammad Alauddin II, sultan Brunei ke-19 yang memerintah dari tahun 1740 hingga kemangkatan beliau pada tahun 1795. Tanah Karambunai ini kemudiannya dianugerahkan kepada puteri baginda, Pengiran Anak Siti Khadijah@Puteri Babau dari hasil perkahwinannya dengan Pengiran Anak Putri binti Sultan Hussain Kamaluddin.  Puteri Babau kemudiannya berkahwin dengan Pengiran Temanggong Abdul Rauf bin Pengiran Abdul Rahman yang akhirnya melahirkan zuriat Pengiran Jalalludin@Pg. Tua Jalal dan Pengiran Siti Fatimah serta beberapa zuriat yang lain. Tanah Karambunai kemudiannya diturunkan oleh Puteri Babau kepada Pengiran Jeludin@Jalalludin  atau dikenali juga sebagai Pengiran Tua Jalal bin Pengiran Temanggong Abdul Rauf. Oleh kerana beliau tidak beranak maka beliau dengan rela hatinya telah menyerahkan Tanah Karambunai miliknya kepada anak saudaranya iaitu Pengiran Abdul Rauf bin Pengiran Abdul Rajit yang merupakan anak kepada adik perempuannya iaitu Pengiran Siti Fatimah binti Pengiran Temanggong Abdul Rauf.

Penyerahan ini dapat dibuktikan dengan jelas melalui satu surat yang ditulis oleh Pengiran Tua Jalal dalam tulisan Jawi yang bertarikh 18 Rabiul Awal 1238 bersamaan dengan 3 Disember 1822. Surat tersebut berbunyi seperti di bawah;

"Bahawa masa itu ada menyatakan, maka adalah kita Pengiran Jalalludin bin Pengiran Temanggong Abdul Raup, telah membuat surat keterangan dan peringatan ini supaya menyatakan kepada mana bangsa orang, maka dengan inilah kita Pengiran Jalalludin menganugerahkan, yang pasal waris pusaka negeri yang tersebut di bawah ini kepada anakanda Pengiran Abdul Raup, serta dengan keizinan keredhaan hati kita yang tersebut nama negeri seperti Mangkabong dan Kinarut yang tulen, Menggatal separuh yang setengahnya adinda Pengiran Fatimah punya, maka mana-mana yang tersebut negeri waris pusakanya yang diizinkan oleh Pengiran Jalaluddin kepada anakanda Pengiran Abdul Raup yang telah tersebut tiada boleh dibatalkan oleh waris dan sanak saudaranya, atau mendakwa pada anakanda Pengiran Abdul Raup. Betul Pengiran Mohamad dan Pengiran Abdul Raup itu keduanya anaknya tetapi Pengiran Abdul Raup yang dibuatkannya anak dia ambil dari kechik sampai besar dia piara sebab itu negeri waris pusaka Pengiran Jalaluddin diwariskan kepada anakanda Abdul Raup yang telah tersebut di atas itu, sahlah dengan terangnya." Tertulis pada 18 haribulan Rabbiul Awal jam pukul 10, 1238.

Isi kandungan surat keterangan penganugerahan tanah waris Pengiran Jalaluddin di atas jelas menunjukkan yang beliau dengan rela hatinya menganugerahkan tanah warisnya yang terdiri dari kawasan Mengkabong, Kinarut tulen dan separuh daripada Menggatal kepada Pengiran Abdul Raup. Beliau juga ada menyatakan bahawa tidak ada sesiapapun yang boleh membatalkan atau mendakwa tanah tersebut milik mereka walaupun Pengiran Mohamad Daud (Pengiran Mohammad Daud ialah anak Pengiran Fatimah dengan suaminya Pengiran Abd Kahar) sekalipun mereka berdua anak Pengiran Fatimah. Ini kerana beliau mengatakan yang Pengiran Abdul Raup adalah anak angkatnya yang dia pelihara sejak kecil.

Kisah terperinci mengenai Karambunai dan pembesar-pembesarnya ini dapat dibaca dengan lebih mendalam lagi melalui penulisan Roslan Masran yang pernah membentangkan kertas kerja beliau semasa Seminar Sejarah Borneo ke-2 di Brunei Darussalam pada tahun 2010. Pautan kepada isi kandungan kertas kerja beliau itu adalah seperti berikut: http://borneohistory57.blogspot.my/2016/10/menyusuri-pewaris-brunei-di-karambunai.html?m=1